
PUTRAJAYA: Seramai 55 orang warganegara Malaysia yang dilaporkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu masih belum dapat dihubungi susulan banjir besar yang berlaku di Daerah Rasuwa, Nepal, semalam.
Menurut Kementerian Luar, angka rakyat Malaysia itu adalah berdasarkan maklumat terkini yang diterima daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber-sumber lain yang berkaitan
Katanya, pihak kementerian memahami bahawa gangguan teruk terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik di kawasan terjejas mungkin menyumbang kepada kesukaran untuk menghubungi mereka.
“Menurut pihak berkuasa tempatan, banjir tersebut telah menyebabkan kerosakan teruk kepada infrastruktur, termasuk jalan raya, jambatan, lebuh raya dan rangkaian komunikasi.
“Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, namun akses ke kawasan terjejas masih terhad,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, kementerian merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Nepal, khususnya kepada keluarga mangsa yang terkorban, serta menzahirkan simpati kepada semua yang terjejas akibat bencana ini.
Wisma Putra berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta hospital-hospital utama di Kathmandu bagi mendapatkan kepastian mengenai keselamatan dan keberadaan warganegara Malaysia yang terlibat.
“Pada peringkat ini, Kementerian belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai kemalangan jiwa melibatkan warganegara Malaysia.
“Kementerian telah mengambil langkah segera untuk menempatkan seorang pegawai daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh bagi membantu Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu,” katanya.
Kementerian juga mengaktifkan Bilik Operasi di Putrajaya berkuat kuasa mulai pukul 12.00 tengah hari ini bagi menyelaras maklumat serta menyediakan saluran komunikasi langsung untuk rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan ahli keluarga mereka.
Jelasnya, rakyat Malaysia di kawasan terjejas serta ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Kementerian melalui saluran Bilik Operasi Kementerian Luar Negeri di talian +603 8887 4570 dan emel dutyofficer@kln.gov.my.
“Ahli keluarga juga boleh mengemukakan butiran berkaitan, termasuk nama penuh, nombor pasport, jadual perjalanan, lokasi terakhir yang diketahui dan nombor telefon yang boleh dihubungi, kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu melalui e-mel mwkathmandu@kln.gov.my dan menyalinkan e-mel tersebut kepada Bilik Operasi Kementerian melalui dutyofficer@kln.gov.my bagi memudah cara penyelarasan.
“Rakyat Malaysia yang menetap atau dalam perjalanan di Nepal, khususnya mereka yang berada atau berhampiran kawasan terjejas adalah dinasihatkan supaya terus berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Katanya, rakyat Malaysia juga digesa untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan masing-masing secara berkala melalui portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my. – UTUSAN
The post Banjir besar Nepal: 55 warga Malaysia gagal dihubungi appeared first on Utusan Malaysia.






