Belum ada pengesahan kemalangan jiwa rakyat Malaysia di Nepal - Wisma Putra

27 Aug 2026 • 8:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Belum ada pengesahan kemalangan jiwa rakyat Malaysia di Nepal - Wisma Putra
Wisma Putra memaklumkan belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai kemungkinan berlakunya kemalangan jiwa membabitkan warganegara Malaysia susulan bencana banjir di Daerah Rasuwa, Nepal.

SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri memaklumkan belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai kemungkinan berlakunya kemalangan jiwa membabitkan warganegara Malaysia susulan bencana banjir di Daerah Rasuwa, Nepal.

Menurut kementerian itu, pihaknya mengambil maklum mengenai maklumat tidak sahih yang tersebar di media sosial dan melalui sumber tidak rasmi berhubung kemungkinan terdapat rakyat Malaysia terkorban dalam bencana berkenaan.

Menurutnya, kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang giat mendapatkan pengesahan segera daripada pihak berkuasa Nepal.

“Pada peringkat ini, kementerian belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai sebarang kemalangan jiwa yang melibatkan warganegara Malaysia.

"Bagaimanapun, orang ramai digesa supaya tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang tidak sahih, manakala pengamal media dimohon untuk tidak menerbitkan atau menyebarkan laporan sedemikian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra terbabit memaklumkan, penyebaran maklumat tidak sahih boleh mencetuskan kebimbangan dan tekanan tidak sepatutnya kepada ahli keluarga yang terlibat.

"Oleh itu, semua pihak diseru untuk menunggu maklumat rasmi dan menghormati privasi keluarga mangsa yang terjejas," ujarnya lagi.

Tambah kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan dan hospital utama di Kathmandu bagi memastikan keselamatan dan keberadaan warganegara Malaysia yang terlibat.

"Pegawai-pegawai konsular di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing juga telah diaktifkan untuk membantu usaha ini melalui libat urus dengan pihak berkuasa yang berkaitan di negara penempatan masing-masing," kongsinya lagi.

Kementerian turut memberitahu, Bilik Operasi di Putrajaya telah beroperasi sejak jam 12 tengah hari bagi menyelaraskan maklumat dan menyediakan saluran komunikasi langsung kepada warganegara Malaysia di kawasan terjejas serta ahli keluarga mereka.

Dalam pada itu, ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan, termasuk nama penuh, nombor pasport, jadual perjalanan, lokasi terakhir diketahui dan nombor telefon yang boleh dihubungi, digesa untuk menghubungi Kementerian melalui saluran Bilik Operasi Kementerian Luar Negeri di talian +603 8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

Mereka juga boleh menyalurkan butiran berkaitan secara terus kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menerusi e-mel mwkathmandu@kln.gov.my, dengan salinan kepada Bilik Operasi Kementerian.

Banjir Nepal: Angka rakyat Malaysia gagal dihubungi meningkat kepada 55 orang

Banjir Nepal: PM zahir dukacita, kerajaan giat kesan 54 rakyat Malaysia

Sementara itu, warganegara Malaysia menetap atau melakukan perjalanan di Nepal terutama mereka yang berada di kawasan terjejas atau berhampiran dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi sepenuhnya semua arahan pihak berkuasa tempatan.

Mereka turut digesa mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular.

Kementerian akan terus memantau perkembangan situasi berkenaan dan menyalurkan maklumat terkini sebaik sahaja maklumat sahih diperoleh.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved