Banjir kilat: 200 rumah dinaiki air 0.3 meter, persiapan Deepavali lima keluarga terjejas

LocalEnvironment
5 Nov 2026 • 11:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Banjir kilat: 200 rumah dinaiki air 0.3 meter, persiapan Deepavali lima keluarga terjejas
Keadaan kawasan perumahan penduduk yang dilanda banjir kilat tular di media sosial.
Image from: Banjir kilat: 200 rumah dinaiki air 0.3 meter, persiapan Deepavali lima keluarga terjejas
Kawasan perumahan di Taman Seri Alam, Saujana Utama dinaiki air susulan limpahan air takungan berhampiran akibat hujan lebat berterusan.

KUALA SELANGOR - Kira-kira 200 rumah di Taman Seri Alam, Sungai Buloh di sini dinaiki air susulan banjir kilat yang melanda kawasan itu pada Khamis.

Kejadian itu turut menjejaskan persiapan lima keluarga masyarakat India yang bakal menyambut Deepavali pada Ahad ini, apabila kediaman mereka dimasuki air hanya tiga hari sebelum perayaan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seri Alam, Pudzil Muhammad Daud berkata, hujan lebat yang berlaku antara jam 3 petang hingga 5 petang menyebabkan air mula memasuki kediaman penduduk sekitar jam 4.30 petang.

"Air naik secara mendadak dalam tempoh kira-kira 15 hingga 20 minit sehingga menyebabkan terdapat kenderaan penduduk yang tidak sempat dialihkan ke tempat selamat.

"Keadaan itu menyebabkan kira-kira 1,000 penduduk dianggarkan terjejas berdasarkan jumlah rumah yang dinaiki air dan purata lima penghuni bagi setiap kediaman.

"Selain itu, terdapat lima keluarga India yang terjejas termasuk persiapan mereka untuk menyambut Deepavali kerana air sudah masuk ke dalam rumah," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, media melaporkan kawasan perumahan di Taman Seri Alam, Saujana Utama dinaiki air susulan limpahan air takungan berhampiran akibat hujan lebat berterusan.

**media[3701628]**

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, kejadian itu menyebabkan kawasan kediaman penduduk ditenggelami air dengan anggaran paras kira-kira 0.3 meter.

Beberapa rakaman video yang tular di media sosial turut memaparkan keadaan banjir di sekitar Taman Seri Alam, Hill Park dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam.

Selain itu, laluan dari arah Meru menuju Puncak Alam berhampiran Penjara Koreksional dilaporkan dilanda banjir lumpur sehingga menjejaskan pergerakan kenderaan.

Rakaman video yang dikongsikan pengguna media sosial juga menunjukkan beberapa kawasan dalam kampus UiTM Puncak Alam terlibat dalam kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, Pudzil berkata, kejadian seumpama itu bukan perkara baharu di kawasan berkenaan apabila sudah berlaku kira-kira lima kali dalam tempoh lima hingga tujuh tahun lalu, dengan kejadian lazimnya berlaku sekitar sekali setahun.

Justeru katanya, pihak persatuan penduduk akan mengadakan perbincangan semula dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengemukakan cadangan penambahbaikan dan meminta pelaksanaan kerja mitigasi banjir di kawasan itu disegerakan.

"Setakat yang dimaklumkan, JPS sudah meluluskan peruntukan RM12 juta untuk mitigasi banjir di kawasan ini. Kita akan kemukakan cadangan berdasarkan masalah yang dikenal pasti supaya proses reka bentuk dan pembinaan dapat disegerakan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved