Hujan lebat yang melanda Selangor sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dilanda banjir kilat, dengan Klang antara daerah yang paling terjejas.
Di Jalan Meru, Taman Sri Jaya, air naik setinggi 0.6 meter awal pagi tadi, memaksa lapan penduduk dipindahkan ke lokasi selamat.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4 pagi dan segera menggerakkan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar serta Sri Andalas ke lokasi kejadian.
Di Shah Alam, kawasan seperti Jalan Kebun, Seri Muda dan Kota Kemuning turut dilaporkan mengalami banjir kilat akibat hujan lebat berterusan. Penduduk berdepan kesukaran keluar rumah, manakala beberapa kenderaan dilaporkan rosak akibat ditenggelami air.
- Saintis berjaya hidupkan semula serigala purba yang pupus 13,000 tahun lalu guna DNA fosil
- China kenakan tarif baharu 125% kepada Amerika Syarikat
- ‘Nama Ahmad Samsuri tiada dalam SPK, telefon tidak dipintas’ – Ketua Polis Negara
- Anwar dianugerah Ijazah Doktor Kehormat Universiti Shenandoah, AS
- Emas cecah RM455.62 segram, pelabur buru aset selamat selepas tarif AS terhadap China meningkat
Beberapa kampung di Puchong termasuk Kampung Tengah, Kampung Sri Aman, dan kawasan berhampiran Sungai Klang juga turut lumpuh akibat banjir kilat.
Kesesakan lalu lintas turut dilaporkan bermula dari Plaza Tol Puchong Barat (LDP) apabila ramai penduduk terpaksa meletakkan kenderaan di bahu jalan untuk mengelakkan kerosakan akibat banjir.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini telah mengeluarkan amaran hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa kawasan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, yang dijangka berterusan sehingga tengah hari ini .
Pihak berkuasa juga mengingatkan penduduk di kawasan berisiko agar bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan untuk berpindah.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai situasi banjir, orang ramai boleh merujuk laman web Info Banjir JPS Selangor di infobanjirjps.selangor.gov.my.
The post Banjir kilat landa beberapa daerah di Selangor, penduduk dipindahkan appeared first on The Reporter.



