[VIDEO] Hujan lebat hampir sejam, kawasan Lembah Klang banjir

LocalEnvironment
20 Sep 2026 • 5:20 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] Hujan lebat hampir sejam, kawasan Lembah Klang banjir

PETALING JAYA – Hujan lebat yang berterusan hampir sejam petang tadi menyebabkan beberapa kawasan sekitar Lembah Klang dilanda banjir kilat sehingga menjejaskan pergerakan pengguna jalan raya.

Tinjauan di media sosial mendapati orang ramai mula berkongsi rakaman serta gambar keadaan hujan lebat dan jalan dinaiki air sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Antara lokasi yang dilaporkan terjejas ialah kawasan berhampiran Zoo Negara, Setiawangsa dan Wangsa Maju, manakala hujan sangat lebat turut dilaporkan sekitar Ampang.

Seorang pengguna Threads, @Smhazry mendakwa berlaku banjir di tepi jalan menghala dari Zoo Negara, selain sebuah bas dilihat mengalami kerosakan di hadapan.

“Banjir di tepi jalan arah dari Zoo Negara. Alhamdulillah, hujan lebat di Kuala Lumpur. Bas rosak di hadapan sedikit,” ujarnya.

Pengguna @Ermalawati pula berkongsi keadaan banjir kilat sebelum Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Setiawangsa dengan rakaman menunjukkan beberapa kenderaan terpaksa meredah jalan yang dinaiki air.

Keadaan cuaca buruk turut dikongsikan pengguna @Babyy_qeem yang memuat naik rakaman hujan lebat di Wangsa Maju sehingga jarak penglihatan kelihatan terhad.

“Rakan-rakan di Wangsa Maju, macam mana kalian bertahan? Ini bukan hujan dah ini,” katanya.

Di Ampang pula, pengguna @Iffankhairr memaklumkan hujan turun begitu lebat sehingga beberapa mercu tanda berhampiran kediamannya sukar dilihat.

“Hujan lebat betul, hampir tidak nampak Ampang Point, Ampang Puteri dan Plaza Ampang City dari rumah saya,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @Bazlyazmi turut memaklumkan beberapa kawasan di ibu negara dinaiki air, namun keadaan dilihat kembali pulih selepas hujan reda.

Dalam pada itu, cuaca buruk turut dilaporkan di Elmina, Selangor apabila sebuah acara di kawasan berkenaan terjejas akibat hujan dan ribut.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat pada pukul 3.05 petang tadi yang berkuat kuasa sehingga pukul 6 petang.

Bagi Selangor, amaran tersebut melibatkan seluruh negeri, selain Kuala Lumpur dan Putrajaya.

MetMalaysia turut meletakkan beberapa kawasan di Perak di bawah amaran sama iaitu Selama, Larut Matang, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Perak Tengah, Kinta, Kampar, Batang Padang, Muallim, Hilir Perak dan Bagan Datuk. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

The post [VIDEO] Hujan lebat hampir sejam, kawasan Lembah Klang banjir appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved