Banjir: Lebih 2,000 penduduk di Perak dipindahkan, R&R Taiping ditutup

24 Oct 2025 • 12:55 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Seramai 2,776 penduduk di Perak terpaksa dipindahkan susulan hujan lebat selama beberapa jam di kawasan berkenaan yang mengakibatkan kawasan mereka dinaiki air.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan, setakat 8 pagi ini, 759 keluarga dipindahkan ke 22 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurutnya, 19 PPS dibuka di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) yang menempatkan 1,784 penduduk, manakala tiga PPS di Manjung menampung 387 penduduk, lapor Bernama.

Antara PPS di LMS ialah Dewan Perdana Trong, Dewan Orang Ramai Sungai Baru Trong, Masjid Al-Wusta Batu 8, Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang dan SK Batu Hampar, manakala di Manjung melibatkan SK Sungai Batu, SK Beruas dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Padang Serai.

Hujan lebat sejak pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan di dua daerah berkenaan dinaiki air, dengan operasi menyelamat dan bantuan digerakkan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan dan ribut petir akan melanda daerah LMS, Kerian, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak pagi ini.

Tiga sungai iaitu Kolam Bukit Merah, Sungai Kampar dan Sungai Slim dilaporkan berada pada paras bahaya.

Sementara itu, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Taiping arah utara di Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) telah ditutup sementara waktu.


"Susulan berlaku banjir di Hentian Sebelah Taiping Arah Selatan. Hentian Sebelah tersebut ditutup buat sementara waktu.

"Sila rancang perjalanan anda. Segala kesulitan yang dialami ketika ini amat dikesali,'' kata Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dalam aplikasi X. - 24 Oktober, 2025

The post Banjir: Lebih 2,000 penduduk di Perak dipindahkan, R&R Taiping ditutup appeared first on Scoop.