
Kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh telah berlaku di Kampung Kemburongoh, Ranau, awal pagi ini.
Bilik Gerakan IPD Ranau berkata pihaknya telah menerima aduan berkaitan kejadian tersebut daripada orang awam melalui MERS 999, tepat jam 4.25 pagi,
Susulan itu, pihaknya mengarahkan anggota bertugas di lapangan untuk segera bergerak ke lokasi kejadian.

"Pada jam 5.15 pagi, anggota Mobile Patrol Vehicle (MPV) yang tiba di lokasi kejadian, mendapati bahawa berlakunya limpahan air dari kawasan atas bukit sehingga menyebabkan gelunsuran tanah berlaku sedikit demi sedikit," kata Polis Daerah Ranau menerusi Facebook.
Keadaan itu menyebabkan jalan berkenaan tidak dapat dilalui oleh kenderaan dari kedua-dua arah buat masa ini.
Baca juga:
Gempa Bumi Lemah Berlaku Di Ranau Pagi Ini
Dua Gempa Bumi Lemah Gegarkan Ranau, Mambong Dalam Tempoh 12 Jam - MetMalaysia
Gempa Bumi Dilapor Berlaku Di Ranau, Sabah
"Anggota bomba turut berada di lokasi kejadian, bagi memantau keadaan semasa. Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Ketua Polis Daerah Ranau, Supt. Mursalin Mahmud, menasihatkan penduduk di daerah Ranau supaya sentiasa berhati-hati susulan keadaan cuaca hujan berterusan yang berpotensi untuk mengakibatkan kejadian banjir lumpur, tanah runtuh serta pokok tumbang.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang kejadian yang berlaku di kawasan sekitar bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan serta menyalurkan bantuan awal.
"PDRM IPD Ranau kekal dalam keadaan siap siaga bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah Ranau sentiasa terpelihara," ujarnya.






