Banjir Nepal: 55 Rakyat Malaysia Dilaporkan Kepada Kedutaan Belum Dapat Dihubungi - Wisma Putra

27 Aug 2026 • 1:19 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Banjir Nepal: 55 Rakyat Malaysia Dilaporkan Kepada Kedutaan Belum Dapat Dihubungi - Wisma Putra

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Seramai 55 rakyat Malaysia yang dilaporkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu masih belum dapat dihubungi susulan banjir besar yang dicetuskan oleh limpahan Sungai Bhote Koshi di daerah Rasuwa, Nepal pada Rabu, menurut Kementerian Luar Malaysia.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra berkata maklumat itu berdasarkan perkembangan terkini yang diterima daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber lain yang berkaitan.

“Kementerian memahami bahawa gangguan teruk terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik di kawasan terjejas mungkin menyumbang kepada kesukaran untuk menghubungi mereka,” menurut kenyataan itu sambil memaklumkan bahawa situasi berkenaan sedang dipantau rapi.

Memetik pihak berkuasa tempatan, kementerian berkata banjir itu menyebabkan kerosakan teruk terhadap infrastruktur termasuk jalan raya, jambatan, lebuh raya dan rangkaian komunikasi.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, namun akses ke kawasan terjejas masih terhad.

Baca juga:

Kementerian turut merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Nepal, khususnya keluarga mangsa yang terkorban, serta menzahirkan simpati kepada semua yang terjejas akibat bencana itu.

Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta hospital utama di Kathmandu bagi mendapatkan kepastian mengenai keselamatan dan keberadaan warganegara Malaysia yang terlibat.

“Pada peringkat ini, kementerian belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai kemalangan jiwa melibatkan rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Kementerian telah mengambil langkah segera untuk menempatkan seorang pegawai daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh bagi membantu Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.

Kementerian turut mengaktifkan Bilik Operasi di Putrajaya berkuat kuasa 12 tengah hari Khamis bagi menyelaras maklumat serta menyediakan saluran komunikasi langsung untuk rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan ahli keluarga mereka.

Rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas dan ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi kementerian menerusi saluran berikut:

BILIK OPERASI KEMENTERIAN LUAR NEGERI

Nombor telefon: +603 8887 4570

E-mel: dutyofficer@kln.gov.my

Ahli keluarga juga boleh mengemukakan butiran berkaitan termasuk nama penuh, nombor pasport, jadual perjalanan, lokasi terakhir diketahui dan nombor telefon yang boleh dihubungi kepada Kedutaan Malaysia di Kathmandu menerusi e-mel mwkathmandu@kln.gov.my, dengan salinan e-mel dihantar kepada Bilik Operasi kementerian di dutyofficer@kln.gov.my bagi memudahkan penyelarasan.

Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan di Nepal, khususnya mereka yang berada atau berhampiran kawasan terjejas, supaya terus berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi semua arahan pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia turut digesa mendaftar dan mengemas kini butiran perhubungan secara berkala menerusi portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.

Kementerian memaklumkan bahawa perkembangan situasi akan terus dipantau dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved