Banjir Nepal: Angka rakyat Malaysia gagal dihubungi meningkat kepada 55 orang

27 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Banjir Nepal: Angka rakyat Malaysia gagal dihubungi meningkat kepada 55 orang
Angka rakyat Malaysia yang gagal dihubungi susulan banjir besar di daerah Rasuwa, Nepal terus meningkat kepada 55 orang.

PUTRAJAYA – Angka rakyat Malaysia yang gagal dihubungi susulan banjir besar di daerah Rasuwa, Nepal terus meningkat kepada 55 orang.

Perkara itu disahkan Wisma Putra dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, jumlah berkenaan berdasarkan maklumat terkini yang diterima daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber lain yang berkaitan.

Ujar Wisma Putra, gangguan teruk terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik di kawasan terjejas mungkin menyumbang kepada kesukaran untuk menghubungi rakyat Malaysia terbabit.

“Pada peringkat ini, kementerian belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai kemalangan jiwa melibatkan warganegara Malaysia,” ujar KLN itu.

Terdahulu, Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menerima laporan bahawa 11 rakyat Malaysia yang dipercayai berada di daerah Rasuwa terputus hubungan susulan banjir berkenaan.

BERITA BERKAITAN: Banjir Nepal: Angka kematian meningkat 160 orang, lebih 680 masih hilang

Banjir Nepal: Lebih 50 rakyat Malaysia gagal dihubungi

Banjir kilat yang melanda kawasan Sungai Bhote Koshi di daerah Rasuwa turut menyebabkan kerosakan besar terhadap jalan raya, jambatan dan infrastruktur, selain menyukarkan akses ke kawasan terjejas.

Usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Nepal, termasuk penggunaan helikopter berikutan akses jalan raya ke kawasan terbabit terjejas akibat banjir.

Dalam pada itu, Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta hospital-hospital utama di Kathmandu.

Langkah itu bagi mendapatkan kepastian mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia yang terlibat.

KLN berkata, banjir berkenaan turut menyebabkan kerosakan teruk terhadap infrastruktur termasuk jalan raya, jambatan, lebuh raya dan rangkaian komunikasi.

“Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, namun akses ke kawasan terjejas masih terhad,” katanya.

Pada masa sama, kementerian mengambil langkah segera menempatkan seorang pegawai daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh bagi membantu Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.

KLN turut mengaktifkan Bilik Operasi di Putrajaya mulai jam 12 tengah hari Khamis bagi menyelaras maklumat serta menyediakan saluran komunikasi langsung untuk rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan ahli keluarga mereka.

"Ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan rakyat Malaysia terbabit boleh mengemukakan butiran termasuk nama penuh, nombor pasport, jadual perjalanan, lokasi terakhir diketahui dan nombor telefon kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu bagi memudahkan penyelarasan," katanya.

Dalam perkembangan sama, KLN menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau dalam perjalanan di Nepal, khususnya mereka yang berada atau berhampiran kawasan terjejas, supaya terus berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri.

Rakyat Malaysia juga digesa mematuhi semua arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan serta mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan masing-masing secara berkala melalui portal e-Konsular.

Kementerian berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan dan memberikan maklumat terkini sekiranya perlu.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved