Banjir Nepal: ‘Gambar pertama macam adik saya, boleh tolong semak?’

3 Sep 2026 • 11:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Banjir Nepal: ‘Gambar pertama macam adik saya, boleh tolong semak?’

PETALING JAYA – Sekeping gambar memaparkan seorang mangsa diusung anggota keselamatan Nepal mencetuskan harapan baharu kepada keluarga Muhammad Zaki Othman, 29, yang masih terputus hubungan selepas banjir melanda negara itu.

Gambar berkenaan dimuat naik menerusi akaun Threads Langtang Valley Nepal yang berkongsi perkembangan operasi menyelamat mangsa di kawasan terjejas banjir di Rasuwa.

Menerusi hantaran itu, akaun berkenaan memaklumkan seramai 3,021 individu telah diselamatkan dari kawasan terjejas banjir di Rasuwa termasuk 338 warga asing.

Apa yang mencuri perhatian, kakak Muhammad Zaki menerusi akaun @asmaliza11 mendakwa individu dalam gambar pertama perkongsian tersebut mempunyai persamaan dengan adiknya.

“Gambar pertama tu macam adik saya. Kalau ada yang di sana boleh tolong cross-check (semakkan( tak? Adik saya Zaki,” tulisnya menerusi ruangan komen.

Berdasarkan gambar tersebut, wajah individu yang sedang diusung tidak kelihatan, sebaliknya hanya sebahagian anggota badan terutama bahagian kaki dapat dilihat.

Individu terbabit dilihat memakai seluar panjang berwarna gelap selain selipar berwarna hijau muda.

Kedudukan individu itu ketika diusung menyebabkan bahagian atas tubuh dan wajahnya terlindung, sekali gus menyukarkan pengecaman menerusi gambar berkenaan.

Bagaimanapun setakat ini, belum ada sebarang pengesahan rasmi bahawa individu yang diusung dalam gambar tersebut merupakan Muhammad Zaki.

Perkongsian kakaknya itu turut mendapat perhatian seorang rakyat Malaysia yang dipercayai berada di Nepal selepas seorang pengguna meminta bantuannya menyemak perkara tersebut.

Individu berkenaan memaklumkan setakat ini, mangsa belum dihantar ke hospital sekitar Kathmandu, namun pihaknya sedang dalam perjalanan ke Kedutaan Malaysia dan akan memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkenaan.

“Setakat ni dekat hospital area Kathmandu belum ada dihantar tapi kita orang dalam perjalanan ke kedutaan. Saya akan inform kedutaan. Terima kasih atas maklumat diberi,” kata @far.haniothman.

Sementara itu, orang ramai turut membanjiri ruangan komen dengan doa dan berharap terdapat perkembangan positif mengenai Muhammad Zaki serta dua lagi rakyat Malaysia yang terputus hubungan.

“Moga ada keajaiban,” tulis @syitaritory.

“Semoga dipermudahkan Allah segala urusan Adib, Zaki, Muhaimin dan yang lain-lain di sana,” komen @fafaaland_.

“Semoga ada khabar baik untuk awak dan kita semua,” kata @frahaiza.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan bapa Muhammad Zaki, Othman Mat Zin, 67, percaya anaknya masih berada di atas gunung bersama dua rakannya dan hanya terputus hubungan susulan bencana yang berlaku di Nepal.

Menurut Othman, keyakinan itu berdasarkan gambar terakhir diterima daripada anaknya yang menunjukkan mereka berada di kawasan tinggi dengan sungai terletak jauh di bawah.

Beliau turut memaklumkan Muhammad Zaki membawa beg besar mengandungi bekalan makanan dan keperluan yang dianggarkan mencukupi untuk tempoh lebih seminggu.

Muhammad Zaki bersama dua rakannya, Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, dan Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, dilaporkan terputus hubungan ketika melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley susulan banjir yang melanda Nepal.- KOSMO! ONLINE

The post Banjir Nepal: ‘Gambar pertama macam adik saya, boleh tolong semak?’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved