Banjir Nepal: Harap dua 'wira merah' selamat, mereka anggota cemerlang - Nga Kor Ming

30 Aug 2026 • 8:11 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Banjir Nepal: Harap dua 'wira merah' selamat, mereka anggota cemerlang - Nga Kor Ming
Kor Ming

IPOH - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus bekerjasama rapat dengan Wisma Putra dalam usaha mengesan dua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang masih gagal dikesan susulan banjir besar di Nepal.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, segala usaha sedang digerakkan bagi membantu pencarian kedua-dua wira merah berkenaan, di samping memohon rakyat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan mereka.

"Kita akan cuba segala usaha untuk membantu mencari dan kita amat berharap mereka dapat diselamatkan.

"Saya minta seluruh rakyat Malaysia berdoa demi keselamatan dan kesejahteraan dua wira merah yang setakat ini belum dapat dikesan," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Lebih 380 pelancong termasuk 291 warga asing hilang selepas banjir di Nepal

11 rakyat Malaysia tidak dapat dihubungi susulan banjir di Nepal - Wisma Putra

Dua anggota terbabit, Fakhrul Munir Mohamad Isa dan Muhammad Sani Harun, dilaporkan antara 56 rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan banjir besar di daerah Rasuwa, Nepal ketika menyertai aktiviti trekking ke Everest Base Camp.

Fakhrul Munir merupakan Pegawai Latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah serta turut berperanan sebagai jurulatih.

Sementara Muhammad Sani Harun berpangkat Penolong Pesuruhjaya Bomba dan merupakan Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan di Ibu Pejabat JBPM.

Kor Ming berkata, JBPM juga sentiasa berhubung rapat dengan keluarga mangsa dan akan menyalurkan sebarang maklumat terkini dari semasa ke semasa.

"Dua-dua anggota ini merupakan antara yang cemerlang. Hati kita bersama mereka dan doa kita tidak pernah putus," katanya.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan Ekspo Jom Makan Ipoh 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Ogos di PALO 101, di sini.

Kor Ming berkata, penganjuran program itu akan diangkat sebagai antara acara tetap dalam kalendar pelancongan negeri Perak bagi memperkukuh tarikan Ipoh sebagai destinasi makanan.

Tambah beliau, pihaknya turut membangunkan lima peta makanan lengkap dengan kod QR bagi memudahkan pelancong mengenal pasti lokasi makanan menarik di sekitar bandar ini.

Katanya, inisiatif tersebut bukan sahaja membantu pelancong, malah membuka peluang kepada peniaga kecil untuk mempromosikan perniagaan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Banjir Nepal: 'Doakan 9 pendaki Malaysia, mereka gagal dihubungi'

Banjir Nepal: ATM sedia digerakkan bagi misi kemanusiaan - Mohamed Khaled

Banjir Nepal: Angka rakyat Malaysia gagal dihubungi meningkat kepada 55 orang

Banjir Nepal: PM zahir dukacita, kerajaan giat kesan 54 rakyat Malaysia

"Perak kini menjadi antara negeri paling popular dalam kalangan pelancong domestik dengan kehadiran 10.1 juta pelawat dan kita mahu momentum ini terus diperkukuh," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran ekspo itu menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari acara berlangsung.

Selain mempromosikan makanan, program itu turut mengetengahkan elemen perpaduan menerusi gabungan aktiviti sukan, muzik dan kulinari yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat di negara ini.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved