
KATHMANDU: Jumlah individu yang hilang susulan kejadian tanah runtuh dan banjir kilat dahsyat di daerah Gyirong, Tibet, meningkat kepada 558 orang, menurut penyiar negara China, CCTV, hari ini.
CCTV melaporkan 260 warga asing antara mereka yang masih hilang di Gyirong, berhampiran sempadan Nepal. Jumlah kematian yang disahkan di wilayah China itu kekal tiga orang.
Bencana itu berlaku pada Rabu selepas pakar menyifatkannya sebagai runtuhan glasier di kawasan Himalaya yang semakin panas, menyebabkan banjir besar serta aliran lumpur dan serpihan melanda kawasan penempatan serta laluan perjalanan utama di kedua-dua belah sempadan.
Di Nepal, polis melaporkan sekurang-kurangnya 157 kematian, menjadikan jumlah korban yang disahkan di kedua-dua negara sekurang-kurangnya 160 orang, manakala ratusan lagi masih belum dapat dikesan.
Jumlah individu yang dilaporkan hilang berbeza-beza ketika pihak berkuasa dan pengendali pelancongan berusaha menghubungi mereka yang berada di kawasan dilanda bencana.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata sekurang-kurangnya 34 warga Australia dilaporkan hilang, manakala Menteri Luar, Penny Wong, berkata maklumat mengenai keberadaan mereka masih “sangat terhad”.
“Pada ketika ini, Nepal ialah sebuah negara membangun dan tidak mempunyai sumber seperti yang kita ada di Australia untuk menangani kejadian seperti ini. Jadi, maklumat sukar diperoleh,” kata Albanese sambil menyatakan simpati kepada keluarga yang bimbang mengenai nasib insan tersayang.
Sebuah syarikat pengendali aktiviti mendaki pula berkata 47 individu termasuk dua kanak-kanak turut dilaporkan hilang di Nepal.
Himalayan Glacier berkata kumpulan itu terdiri daripada 15 warga Australia, 10 Kanada, sembilan Nepal, lapan Amerika Syarikat, dua Britain, dua Singapura serta seorang pemegang kewarganegaraan berganda Amerika Syarikat-Rusia.
Pegawai Nepal sebelum ini berkata ratusan pelancong, jemaah, pekerja dan penduduk tempatan dilaporkan hilang selepas banjir yang berlaku secara tiba-tiba melanda kawasan pergunungan di sempadan negara itu.
Ramai yang masih belum ditemui dipercayai sedang dalam perjalanan ke atau dari Gunung Kailash di Tibet, lokasi suci bagi penganut Hindu, atau mendaki di daerah Rasuwa, yang terjejas teruk ketika sambutan perayaan Janai Purnima.
Banjir itu memusnahkan kampung, jambatan, jalan raya dan projek hidroelektrik, manakala pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk supaya menjauhi beberapa sungai yang semakin deras akibat peningkatan paras air.
Rakaman dron dari kawasan terjejas menunjukkan jalan raya dihanyutkan arus deras dan bangunan ditimbus aliran lumpur. Di Nepal, gambar turut menunjukkan tingkat atas bangunan diselaputi lumpur dan serpihan, kenderaan ditenggelami air serta mangsa yang terselamat dipenuhi lumpur.
Tinjauan awal Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan berlaku gempa bumi berhampiran sempadan, namun penilaian itu kemudian diperbetulkan dan mendapati isyarat seismik berkenaan sebenarnya berpunca daripada keruntuhan glasier bermagnitud 5.2. Imej satelit dan data seismik menunjukkan tiada gempa bumi berlaku.
Pakar iklim berkata, runtuhan ais dan batu dari glasier berkemungkinan menghalang aliran sungai sebelum menyebabkan lonjakan air deras ke kawasan hilir.
Kawasan sama turut dilanda banjir maut tahun lalu, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap risiko yang dihadapi masyarakat di Himalaya akibat pencairan glasier dan cuaca ekstrem yang dikaitkan dengan perubahan iklim.
Nepal memohon bantuan India dan China dalam usaha menyelamat, manakala agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta beberapa kerajaan asing menyatakan sokongan dan menawarkan bantuan susulan semakin jelasnya skala bencana kemanusiaan itu.- AGENSI
The post Banjir Nepal: Jumlah mangsa hilang meningkat kepada 558 appeared first on Utusan Malaysia.





