
KUALA LUMPUR - Seramai 17 rakyat Malaysia yang melancong dalam satu kumpulan di Nepal masih belum dapat dihubungi selepas banjir besar melanda daerah Rasuwa, dengan lokasi terakhir mereka dikesan berhampiran Timure, dekat sempadan Nepal-China.
Wakil agensi pelancongan berpangkalan di Nepal, Roshan Panday, berkata kumpulan berkenaan dipercayai berada di kawasan yang teruk terjejas akibat banjir sebelum hubungan dengan mereka terputus.
Menurutnya, kakitangan agensi terbabit kali terakhir berjaya menghubungi salah seorang anggota kumpulan pada jam 8.18 pagi waktu tempatan atau 10.18 pagi waktu Malaysia ketika mereka dalam perjalanan menuju kawasan sempadan berhampiran Timure.
Beliau mengesahkan kesemua 17 rakyat Malaysia itu bersama ketika hubungan terputus.
“Mereka bergerak bersama sebagai satu kumpulan. Enam kereta, tetapi semuanya bersama,” katanya, seperti dilaporkan Buletin TV3.
Roshan berkata usaha mengesan kumpulan terbabit sedang dipergiatkan selepas akses ke kawasan berkenaan terjejas teruk apabila jalan raya dihanyutkan arus banjir.
“Tiada akses melalui jalan raya kerana semuanya telah dihanyutkan,” katanya.
Menurutnya, helikopter telah dihantar ke kawasan berkenaan semalam bagi membantu operasi mencari, selain penggunaan dron dan kaedah lain untuk mengesan lokasi kumpulan itu.
Beliau berkata kerja membina semula jalan yang musnah dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya setahun, menyebabkan pengangkutan udara menjadi kaedah utama untuk mengakses kawasan terbabit buat sementara waktu.
Situasi itu kini dipantau rapat ketika pihak berkuasa Malaysia meneruskan usaha mendapatkan maklumat mengenai lokasi serta keselamatan kesemua rakyat Malaysia berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, rakyat Malaysia yang berada di Annapurna Base Camp dilaporkan selamat dan tidak terjejas akibat banjir kilat yang melanda beberapa kawasan lain di Nepal.
Pemandu pelancong bebas, Muhammad Hafizal Hamidon, berkata keadaan di Annapurna Base Camp kekal stabil dengan dianggarkan antara 65 hingga 70 rakyat Malaysia berada di kawasan berkenaan.
“Syukur, keadaan di Annapurna Base Camp sekarang baik. Setakat yang saya tahu, ada kira-kira 65 hingga 70 rakyat Malaysia di kawasan ini.
“Tiada operasi menyelamat kerana semuanya baik dan tiada masalah. Banjir berlaku jauh dari Annapurna Base Camp,” katanya ketika dipetik Buletin TV3.
Beliau berkata aktiviti pendakian juga diteruskan seperti biasa meskipun beberapa laluan terjejas akibat kejadian tanah runtuh minggu lalu.
Katanya, beberapa kawasan di laluan keluar masuk trekking sebelum ini terjejas akibat tanah runtuh dan kenderaan tidak dapat melaluinya, namun sebahagiannya kini telah dibuka semula bagi membolehkan pergerakan dan aktiviti pendakian diteruskan.
“Setakat ini, aktiviti di Annapurna Base Camp tidak berubah dan tiada halangan untuk aktiviti trekking di sini,” katanya.
Muhammad Hafizal berkata beliau bersama kumpulannya kini memasuki hari keempat berada di base camp berkenaan dan dijadual bermalam di situ hari ini.
Beliau turut memaklumkan keadaan kekal terkawal dan setakat ini tiada pemberitahuan mengenai sebarang operasi menyelamat membabitkan rakyat Malaysia di Annapurna Base Camp. - Getaran, 27 Ogos 2026





