KUALA LUMPUR - Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Nepal bagi membolehkan sampel DNA mangsa yang ditemukan dalam bencana banjir dan tanah runtuh di negara berkenaan dihantar ke Kuala Lumpur.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu bagi memudahkan proses pengecaman dan padanan DNA mangsa dengan ahli keluarga terdekat di Malaysia.
"Apa yang sedang kami rundingkan juga adalah untuk kita dapat menghantar pakar-pakar DNA untuk kita meneliti ataupun kita nak minta supaya mereka menghantar DNA yang telah mereka ambil sampel-sampel daripada mangsa yang dijumpai dihantar ke sini.
"Supaya lebih mudah untuk kita mengenal ataupun membuat pemadanan DNA tersebut kerana di sana mereka kekurangan fasiliti, kekurangan peralatan dan kekurangan kemudahan-kemudahan," katanya ketika ditemui di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini pada Sabtu.
Mohamad berkata demikian bagi mengulas perkembangan operasi pasukan SMART bagi mencari 55 rakyat Malaysia masih hilang dalam kejadian di negara berkenaan.
Mohamad berkata, permintaan berkenaan juga telah dimaklumkan kepada kerajaan Nepal.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Malaysia turut berunding dengan pihak berkuasa Nepal bagi membolehkan waris rakyat Malaysia yang masih belum ditemui mendapatkan dokumen berkaitan pengesahan kehilangan mereka.
Menurutnya, perkara itu penting supaya urusan waris seperti insurans dapat diuruskan dengan segera.
“Kita nak berundingkan supaya urusan-urusan seperti insurans dan yang lain-lain itu dapat diuruskan dengan segera.
“Itu sebabnya kita telah minta supaya Kedutaan di sana berurusan dengan Kementerian Undang-Undang di Nepal untuk bagaimana caranya untuk waris mendapatkan apa jua dokumen yang boleh mengesahkan bahawa rakyat Malaysia yang sehingga kini tidak dapat ditemui itu adalah hilang," katanya.
Sementara itu, mengenai pasukan Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia (SMART), beliau memaklumkan mereka akan kembali ke Malaysia pada Sabtu atau Ahad (12 atau 13 September) selepas operasi di Nepal selesai.
Menurutnya, semua dron yang dibawa pasukan SMART dari Malaysia ditinggalkan dan diserahkan kepada pasukan penyelamat Nepal untuk digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat.




