
KUALA LUMPUR – Malaysia mahu mendapatkan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa bencana banjir besar dan lumpur di Nepal untuk dihantar ke Kuala Lumpur bagi tujuan pengecaman.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan itu sudah disampaikan kepada kerajaan Nepal menerusi Kedutaan Malaysia di Kathmandu.
Menurut beliau, langkah berkenaan dapat membantu proses padanan DNA dengan ahli keluarga rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan.
“Kita juga melalui kedutaan meminta supaya pihak keselamatan Nepal dapat menghantar sampel ke Malaysia, ke Kuala Lumpur untuk kita buat padanan dengan ahli keluarga terdekat yang telah pun diambil sampel DNA mereka.
“Ini kerana di sana mereka kekurangan fasiliti, peralatan dan kemudahan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia turut bersedia menghantar pakar DNA ke Nepal sekiranya diperlukan bagi membantu proses mengenal pasti mangsa.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, kerajaan Nepal masih belum berhasrat mengumumkan penamatan operasi mencari dan menyelamat (SAR) walaupun pasukan antarabangsa mula berundur.
Katanya, kira-kira 5,000 individu masih dikategorikan sebagai tidak dapat dikesan.
“Pihak berkuasa Nepal tidak berhasrat untuk mengumumkan penamatan usaha SAR kerana masih ada kira-kira 5,000 orang yang belum dapat dikesan.
“Mereka tidak mahu pengumuman itu mencetuskan isu tempatan atau tekanan daripada rakyat terhadap kerajaan Nepal,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Banjir Nepal: Sampel DNA mangsa akan dibawa ke KL untuk padanan appeared first on Kosmo Online.






