
KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang berunding dengan Kementerian Luar dan Kementerian Undang-Undang Nepal bagi mendapatkan kepastian mengenai status rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan dalam tragedi banjir besar dan bencana lumpur di negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha itu penting bagi membolehkan waris mangsa menguruskan urusan berkaitan termasuk tuntutan insurans dan dokumentasi lain.
Menurut beliau, undang-undang Nepal menetapkan sijil kematian bagi individu yang hilang hanya boleh dikeluarkan selepas tempoh tiga tahun, berbanding tujuh tahun di Malaysia.
“Kita cuba berunding supaya urusan seperti insurans dan perkara lain dapat diuruskan dengan segera. Sebab itu kita minta kedutaan di sana berurusan dengan Kementerian Undang-Undang Nepal.
“Ia bagi mencari kaedah supaya waris terdekat dapat memperoleh dokumen yang boleh mengesahkan status rakyat Malaysia yang sehingga kini tidak dapat dikesan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya dijangka menerima maklum balas daripada Kerajaan Nepal dalam tempoh terdekat berhubung perkara itu.
Mohamad berkata, lokasi terakhir rakyat Malaysia berkenaan juga sudah dikenal pasti berdasarkan isyarat terakhir telefon bimbit mereka.
“Lokasi tersebut merupakan kawasan yang teruk dilanda bencana,” katanya. – KOSMO! ONLINE.
The post Banjir Nepal: Kerajaan runding status kehilangan rakyat Malaysia appeared first on Kosmo Online.






