
Seorang lelaki dipercayai warga Korea Selatan dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras terusan ketika meredah kawasan yang dilanda banjir di bandar pelancongan ini awal pagi Khamis.
Seorang hilang selepas dihanyutkan arus terusan
Memetik laporan Bangkok Post, hujan lebat mula melanda Pattaya sekitar 11 malam Rabu dan berterusan hingga awal pagi Khamis, menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air termasuk Pattaya 3 Road, jalan yang selari dengan landasan kereta api, Soi Bua Khao dan Walking Street.
Sekitar 5 pagi, tiga lelaki dipercayai warga Korea Selatan sedang meredah air banjir di Map Yai Lia 45 Road sebelum dua daripada mereka terjatuh ke dalam sebuah terusan saliran.
Seorang saksi berusia 17 tahun, Thikorn Kanthonglueang, berkata dia sempat menarik seorang lelaki keluar, manakala seorang lagi berjaya berpaut pada susur tangan.
Bagaimanapun, lelaki ketiga dihanyutkan arus deras terusan berkenaan dan masih belum ditemui.
Penduduk tempatan berkata pelancong berkenaan mungkin tidak menyedari kewujudan terusan itu berikutan kawasan terbabit diliputi air banjir.
Usaha mencari dan menyelamat lelaki yang masih hilang sedang dijalankan.






