
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berangkat ke Sabah esok bagi meninjau sendiri situasi banjir yang semakin meruncing di negeri itu.
“Saya akan berada di sana esok,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan dalam menangani bencana berkenaan.
Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Perhimpunan Agung Kesatuan Antara Parlimen ASEAN (AIPA GA) ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Keadaan banjir di Sabah semakin buruk sejak beberapa hari lalu, menyebabkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri menegaskan, pembangunan bandar pintar adalah komponen penting dalam transformasi digital Malaysia, malah ia merupakan sebahagian daripada visi membentuk masyarakat Madani yang inklusif, mampan dan berdaya saing.
Menurutnya, bandar pintar bukan sekadar mengenai teknologi canggih atau kecerdasan buatan (AI), sebaliknya berkait rapat dengan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Bandar pintar perlu menangani keperluan asas masyarakat seperti kos sara hidup, kemudahan awam dan kualiti hidup,” katanya.
Jelas Anwar, Putrajaya akan dijadikan projek perintis melalui pembangunan Kota Madani, manakala Kuala Lumpur pula dijangka muncul sebagai hab utama bagi inisiatif bandar pintar di seluruh negara.
“Menjelang 2030, lebih separuh daripada penduduk ASEAN dijangka tinggal di kawasan bandar. Ini menuntut pendekatan baharu dalam pengurusan bandar.
“Pembangunan bandar pintar perlu berpaksikan prinsip Madani berasaskan belas ihsan serta peluang saksama untuk semua. Teknologi hanyalah alat, matlamat akhirnya ialah kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau memberi ingatan, aspek etika, keselamatan siber dan privasi data harus diberi perhatian dalam pelaksanaan teknologi AI di persekitaran bandar, agar tidak wujud pembangunan yang hanya melahirkan ‘hutan konkrit’ tanpa identiti budaya.
Bagi menyokong agenda tersebut, kerajaan melalui Digital Nasional Berhad telah melancarkan program pendidikan teknologi untuk melatih lebih 40,000 penjawat awam dalam bidang AI, sains data dan tadbir urus digital.
“Malaysia kini mempunyai asas kukuh dengan liputan rangkaian 5G melebihi 82 peratus, dan dijangka mencecah 98 peratus menjelang Rancangan Malaysia Ke-13. Ini akan mengukuhkan lagi agenda bandar pintar negara,” tambahnya. - Getaran, 18 September 2025

