Bank Dunia cadang Malaysia rombak struktur kadar cukai PKS dalam Belanjawan 2027

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 12:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bank Dunia cadang Malaysia rombak struktur kadar cukai PKS dalam Belanjawan 2027 Image from: Bank Dunia cadang Malaysia rombak struktur kadar cukai PKS dalam Belanjawan 2027 amree07/10/2026 - 12:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt — Malaysia disaran merombak struktur cukai bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam Belanjawan 2027, termasuk menyatukan struktur kadar cukai semasa kepada satu kadar cukai korporat bagi memudahkan perniagaan berkembang.

 

Cadangan itu dikemukakan Bank Dunia ketika Malaysia berdepan cabaran meningkatkan hasil cukai negara berbanding saiz ekonominya, dengan institusi global itu melihat masih terdapat ruang untuk menambah kutipan cukai tanpa perlu menaikkan kadar cukai.

 

Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata struktur cukai sedia ada perlu diubah agar secara tidak langsung memberi insentif kepada syarikat untuk kekal dalam kategori PKS dan membolehkan berkembang dalam had yang ditetapkan.

 

"Kerajaan pada masa sama, boleh mempertimbangkan supaya layanan cukai istimewa dapat dikurangkan secara berperingkat-peringkat apabila sesebuah firma berkembang melepasi ambang PKS," jelas beliau.

 

Tambahnya, langkah itu akan menjadikan sistem cukai lebih menyokong pelaburan serta menggalakkan syarikat-syarikat tempatan untuk berkembang tanpa terikat dengan struktur insentif yang sedia ada.

 

Di Malaysia, PKS dalam sektor pembuatan ditakrifkan sebagai perniagaan dengan jualan tahunan tidak melebihi RM50 juta atau mempunyai tidak lebih 200 pekerja sepenuh masa, manakala bagi sector lain, hadnya ialah jualan tidak lebih RM20 juta atau kurang 75 pekerja.

 

Bank Dunia_DagangNews2026

 

Apurva berkata, Bank Dunia sudah memberikan input kepada Kementerian Kewangan (MoF) berhubung penyediaan Belanjawan 2027, sama seperti pelbagai organisasi lain yang turut mengemukakan pandangan masing-masing.

 

"Selain struktur cukai PKS, Bank Dunia turut mencadangkan kerajaan melihat semula ambang pendapatan bagi kadar cukai pendapatan individu yang lebih tinggi, termasuk kemungkinan menurunkan had semasa," tambah beliau.

 

Langkah lain yang boleh dipertimbangkan ialah menetapkan had lebih jelas terhadap pelepasan dan potongan cukai pendapatan individu, khususnya bagi kumpulan berpendapatan tinggi.

 

Menurut Apurva, terdapat ruang untuk memperbaiki struktur pelepasan cukai kerana sebahagian besar manfaat daripada pelepasan yang diberikan kerajaan kini turut dinikmati oleh kumpulan berpendapatan tinggi iaitu T20.

 

Ujarnya, walaupun 2027 merupakan tahun pilihan raya umum (PRU), kerajaan masih mempunyai pilihan untuk meningkatkan hasil cukai negara melalui penambahbaikan struktur dan pentadbiran cukai, tanpa semestinya menaikkan kadar cukai. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved