Pengusaha pusat beli-belah mahu SST turun kepada 3% dalam Belanjawan 2027

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 4:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengusaha pusat beli-belah mahu SST turun kepada 3% dalam Belanjawan 2027 Image from: Pengusaha pusat beli-belah mahu SST turun kepada 3% dalam Belanjawan 2027 liza07/10/2026 - 16:38 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt – Pengusaha pusat beli-belah meminta kerajaan mempertimbangkan langkah untuk mengurangkan kos operasi yang semakin meningkat, termasuk melanjutkan perlindungan kos elektrik di bawah mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) serta menurunkan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada 3%.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Sunway Malls, HC Chan yang juga penasihat Persatuan Pengurusan Kompleks Beli-belah Malaysia (PPK) berkata kos elektrik dan SST antara perkara utama yang ingin diketengahkan pihaknya dalam Belanjawan 2027.

 

Menurut beliau, peningkatan kos operasi terus memberi tekanan kepada industri peruncitan, justeru kerajaan perlu mempertimbangkan sokongan kepada pusat beli-belah yang menggunakan jumlah elektrik yang tinggi bagi mengendalikan kompleks masing-masing.

 

“Kami mempunyai senarai permintaan yang sangat ringkas. Salah satunya ialah caj elektrik untuk mengendalikan pusat beli-belah.

 

“Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk melindungi pusat beli-belah, bukan hanya rumah,” katanya kepada media pada majlis pengumuman penyewa utama Sunway Ipoh Mall.

 

Chan berkata, pusat beli-belah memerlukan penggunaan elektrik yang besar bagi mengendalikan penghawa dingin, pencahayaan, lif, eskalator, sistem keselamatan dan kemudahan bersama yang lain.

 

Menurut beliau, langkah untuk mengawal kos elektrik dapat membantu pengusaha pusat beli-belah menguruskan perbelanjaan selain mengurangkan tekanan kos terhadap keseluruhan ekosistem peruncitan.

 

Beliau berkata, perkara itu penting ketika pengusaha pusat beli-belah berdepan peningkatan kos operasi, selain perlu kekal berdaya saing untuk menarik penyewa serta mengekalkan jumlah kunjungan pengguna.

 

Cadang SST dikurangkan kepada 3%

Chan berharap kerajaan mempertimbangkan pengurangan kadar SST bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap perniagaan dan pengguna.

 

Beliau berkata, kadar SST sebelum ini ialah 8% dan kini berada pada 6%, justeru kerajaan dicadangkan mengurangkannya kepada 3% untuk tempoh tertentu.

 

“SST adalah 8% dan kini 6%. Kami berharap kerajaan mempertimbangkan untuk mengurangkan SST, mungkin separuh daripada 6% kepada 3% untuk tempoh tertentu, bagi mengurangkan tekanan terhadap pasaran,” katanya.

 

Menurut Chan, kadar cukai yang lebih rendah akan memberi ruang kepada perniagaan untuk menguruskan kos, selain menyokong perbelanjaan pengguna ketika isi rumah berdepan peningkatan kos sara hidup.

 

Beliau berkata, sebahagian besar perbelanjaan pengguna di Malaysia berlaku di pusat beli-belah, justeru pengurangan SST dapat membantu mengurangkan beban bukan sahaja kepada kumpulan B40, malah M40.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved