Persoalan mengenai berapa lama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan dikecualikan daripada pelaksanaan kadar gaji minimum baharu dibangkitkan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
Guan Eng berkata, meskipun kerajaan sebelum ini mengumumkan PMKS dikecualikan daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini, tempoh sebenar pengecualian berkenaan masih belum diketahui.
Menurut bekas Menteri Kewangan itu, perkara tersebut perlu diberi perhatian memandangkan perniagaan tempatan ketika ini berdepan peningkatan kos operasi, termasuk kos tenaga kerja.
“Walaupun anda menyebut tentang pengecualian bagi PKS, kita tidak tahu berapa lama tempoh penangguhan (moratorium) itu akan berlangsung.
“Jadi, hanya menunggu masa sebelum kita terpaksa mengikut langkah yang sama. Jika itu berlaku, perniagaan—khususnya perniagaan di Malaysia—akan terjejas teruk,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju supaya PMKS dikecualikan daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini selepas mengambil kira tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi yang dihadapi sektor berkenaan.
Dalam pada itu, Guan Eng turut mencadangkan supaya sebarang kenaikan kadar gaji minimum selepas ini hanya melibatkan pekerja warganegara Malaysia dan tidak diperluaskan kepada pekerja asing.

Katanya, majikan terutama PMKS sudah menanggung pelbagai kos tambahan bagi menggaji pekerja asing termasuk levi, penjagaan kesihatan dan penyediaan penginapan.
“Pastikan ia hanya untuk pekerja rakyat Malaysia, bukan untuk pekerja asing. Kerana anda hanya menambah beban.
“Dan kebelakangan ini, saya menerima banyak panggilan daripada ramai majikan yang berasa bimbang,” katanya lagi.
Beliau pada masa sama menolak tanggapan bahawa pengecualian pekerja asing daripada kenaikan gaji minimum akan menyebabkan majikan lebih cenderung memilih tenaga kerja warga asing.
Sebaliknya, Guan Eng mendakwa majikan bersedia menawarkan gaji lebih tinggi kepada rakyat Malaysia sekiranya bekalan tenaga kerja tempatan mencukupi.
“Jadi, jika mereka boleh mendapatkan pekerja tempatan dengan gaji, katakanlah, RM2,500, saya pasti mereka amat gembira untuk berbuat demikian. Tetapi memang tidak dapat.
“Kemudian secara tiba-tiba anda menaikkan gaji untuk pekerja asing. Saya rasa itu tidak wajar… bagi kita (rakyat Malaysia), ia okay, tetapi bukan untuk pekerja asing,” katanya.
Selain isu gaji minimum, Guan Eng sekali lagi menggesa supaya caruman wajib dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan pekerja asing dikaji semula bagi mengurangkan tekanan kos kepada majikan.
Kadar gaji minimum ketika ini ditetapkan pada RM1,700, manakala kadar baharu masih belum diputuskan kerajaan. Menteri Sumber Manusia, R. Ramanan sebelum ini turut menepis spekulasi bahawa kadar berkenaan telah ditetapkan pada RM2,000, RM2,100 atau RM2,200.
Perincian berkaitan pelarasan gaji minimum dijangka menjadi antara perkara yang diberi perhatian menjelang pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober ini.
Sumber: Malaysiakini (Alyaa Ahadjri)







