Ivory Properties jual bangunan komersial RM18 juta bayar hutang bank

07/05/2025 - 11:28
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 7 Mei - Ivory Properties Group Bhd yang dikategorikan sebagai syarikat PN17, menjual bangunan komersial dua tingkat, The Birch House di Georgetown, Pulau Pinang pada harga RM18 juta bagi menyelesaikan pinjaman bank.
Syarikat itu memaklumkan, bangunan berkenaan kini disewa oleh rangkaian restoran pihak ketiga, namun hasil sewaan tidak mencukupi untuk membayar ansuran pinjaman.
"Akibatnya, pinjaman tersebut tertunggak dan Bank Islam Malaysia Bhd telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Ivory Properties.
"Kes kini dipindahkan dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Berikutan situasi tersebut, Ivory Properties mengambil keputusan untuk menjual aset bukan teras itu bagi menjana dana dan menyelesaikan hutang.
Syarikat berkata, jualan bangunan berkenaan dijangka memberikan keuntungan bersih sekitar RM7.28 juta dan akan selesai menjelang suku ketiga tahun ini.
"Daripada jumlah hasil jualan RM18 juta, sebanyak RM10.5 juta akan digunakan untuk membayar hutang bank, manakala RM7.5 juta lagi akan digunakan sebagai modal kerja," jelasnya.
Ivory Properties dikategorikan di bawah status PN17 sejak Ogos 2022 selepas juruaudit luar, Messrs KPMG PLT, menyatakan kebimbangan mengenai kemampuan syarikat untuk terus beroperasi.
Menurut KPMG, Ivory Properties mencatat kerugian bersih sebanyak RM79.51 juta pada TK2022 dan liabiliti syarikat melebihi aset semasanya sebanyak RM60.22 juta.
Masalah kewangan utama berpunca daripada anak syarikat milik penuh, Ivory Gleneary Sdn Bhd (IGSB), yang perlu membayar ganti rugi pasti (LAD) kesan daripada kelewatan sebanyak RM73.6 juta kepada pembeli bagi Fasa 3 projek Penang Times Square-The Wave and Commercial sehingga 31 Mac 2024.
Setakat akhir Jun 2024, IGSB mencatatkan kerugian terkumpul sebanyak RM74.5 juta, dengan tambahan kerugian RM500,000 direkodkan antara April hingga Jun.
IGSB turut disaman oleh Bank Islam kerana tunggakan bayaran berjumlah RM19.8 juta.
Pada September tahun lalu, Ivory Properties melantik pelikuidasi sementara untuk memulakan proses penutupan IGSB sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan.
Sehingga akhir 2024, baki tunai dan bank kumpulan itu hanya RM1.69 juta, manakala pinjaman jangka pendeknya mencecah RM58.01 juta. - DagangNews.com
standard
