Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% usai mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) BNM pada petang 5 November.
Menurut BNM, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan global yang terus berdaya tahan, disokong oleh pelaburan teknologi global yang kukuh dan pasaran pekerja yang stabil. Inflasi meningkat sedikit susulan kenaikan kos tenaga dan dijangka kekal tinggi berikutan peningkatan kos yang dipindahkan secara berterusan kepada harga pengguna.
“Pada masa hadapan, meskipun ketidaktentuan berhubung dengan perkembangan geopolitik akan terus mempengaruhi pertumbuhan global dalam keadaan tekanan inflasi yang berterusan, kesannya dijangka diimbangi oleh perbelanjaan berkaitan teknologi yang mampan serta pelarasan yang berterusan terhadap kekangan bekalan,” kata BNM dalam satu kenyataan.
Tambah BNM lagi, risiko pertumbuhan global menjadi rendah terus wujud, berpunca daripada ketegangan geopolitik yang berlarutan dan keadaan kewangan global yang lebih ketat susulan pelarasan dasar monetari, kebimbangan tentang penilaian dalam pasaran kewangan serta keadaan fiskal yang mudah terjejas.
Potensi pertumbuhan menjadi lebih tinggi pula mungkin disebabkan oleh perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh dan pemulihan keadaan rantaian bekalan yang lebih cepat daripada jangkaan.
“Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan yang terus kukuh pada suku ketiga tahun 2026. Pertumbuhan disokong oleh prestasi eksport yang kukuh dalam keadaan permintaan dalam negeri yang mampan. Momentum pertumbuhan yang utuh dijangka meningkatkan pertumbuhan pada tahun 2026 melebihi 5%.
“Pada masa hadapan, asas-asas ekonomi yang mantap dijangka mengekalkan daya tahan pertumbuhan pada tahun 2027. Sektor luaran dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan serta perbelanjaan pelancong yang teguh.”
Keadaan pasaran pekerja yang stabil dan aktiviti pelaburan yang berterusan akan terus menyokong permintaan dalam negeri, manakala langkah-langkah dalam Belanjawan 2027 akan memberikan sokongan tambahan kepada penggunaan swasta.
Prospek pertumbuhan ini terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi rendah yang berpunca daripada konflik di Timur Tengah yang berlarutan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah. Potensi pertumbuhan menjadi lebih tinggi pula disebabkan oleh pertumbuhan global yang lebih baik daripada jangkaan, permintaan terhadap eksport berkaitan teknologi yang lebih kukuh serta aktiviti pelancongan yang lebih giat.







