Isu Pulau Balabac: Malaysia perkukuh pertahanan negara, bukan reaksi kepada Filipina – Mohamed Khaled

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 5:42 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Isu Pulau Balabac: Malaysia perkukuh pertahanan negara, bukan reaksi kepada Filipina – Mohamed Khaled

KOTA KINABALU: Malaysia akan terus melaksanakan langkah pengukuhan pertahanan sebagai usaha berterusan bagi menjamin keselamatan negara, susulan tindakan Filipina memperkukuh keselamatan di Pulau Balabac, berhampiran perairan Sabah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah berkenaan bukan reaksi terhadap tindakan Filipina, sebaliknya sebahagian daripada perancangan berterusan Kementerian Pertahanan bagi memastikan kesiapsiagaan negara menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk peningkatan ketegangan di rantau ini.

Katanya, setiap negara mempunyai hak untuk memperkukuh pertahanan masing-masing dan Malaysia turut mengambil pendekatan sama demi melindungi kedaulatan serta keselamatan negara.

“Bagi Malaysia, kita juga mengambil langkah yang sama, bukan sebagai reaksi kepada Filipina, tetapi sebagai usaha berterusan Kementerian Pertahanan untuk memastikan keselamatan negara terjamin sekiranya berlaku peningkatan ketegangan di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media sebelum sesi menyaksikan ketibaan pesawat FA-50M pertama bertempat di Pangkalan Udara Labuan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan; Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Tentera Udara;
Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Menurutnya, antara langkah pengukuhan pertahanan di Sabah termasuk menentukan jumlah pesawat FA-50M yang akan ditempatkan di negeri itu selepas pesawat Hawk bakal dinyahtauliahkan pada tahun 2028.

Selain itu, kerajaan turut memutuskan pemasangan beberapa radar pesisir pantai baharu di Sabah serta radar pertahanan udara di Labuan dan Pulau Layang-Layang.

Katanya, kekuatan anggota tentera di Sabah juga akan ditingkatkan bagi memperkukuh keupayaan pertahanan di negeri berkenaan.

“Penempatan anggota tentera di Sabah juga akan ditingkatkan, di samping pembinaan kem-kem baharu dan menaik taraf kem sedia ada,” katanya.

Langkah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keupayaan pertahanan negara, khususnya di Sabah yang mempunyai kepentingan strategik dari sudut keselamatan dan kedaulatan wilayah.

Sebelum ini, Mohamed Khaled dilaporkan berkata Malaysia perlu mengambil langkah proaktif bagi memperkukuh kedudukan pertahanan negara, khususnya di Sabah sekiranya berlaku pertembungan kuasa besar di Laut China Selatan.

Katanya, ia penting dilaksanakan berikutan kedudukan geografi Sabah berhampiran kawasan berpotensi berlaku konflik, termasuk susulan peningkatan pembangunan pangkalan tentera dan kehadiran ketenteraan pihak luar di Filipina. – UTUSAN

 

The post Isu Pulau Balabac: Malaysia perkukuh pertahanan negara, bukan reaksi kepada Filipina – Mohamed Khaled appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved