Bank Pembangunan biayai RM33.87 juta pembangunan fasa kedua Lundu Beach Resort

14/05/2025 - 14:54
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 14 Mei - Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) memeterai kerjasama dengan Pangolin Resort Sdn Bhd (PRSB) bagi menyediakan pembiayaan RM33.87 juta untuk pembangunan fasa kedua Lundu Beach Resort di Sarawak.
Pembiayaan itu dinilai melalui rangka kerja Penilaian Kesan Terhadap Pembangunan Nasional (MIND) yang mengukur keselarasan projek dengan Rancangan Malaysia Ke-12 serta matlamat alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG).
Projek berkenaan mencatatkan skor baik terutamanya dari penciptaan pekerjaan, pelancongan lestari, dan manfaat kepada komuniti setempat.

Fasa kedua pembangunan merangkumi pembinaan hotel 72 bilik, 28 vila, dewan bankuet, dan kemudahan ruang makan.
Ia dijangka memberi manfaat kepada 300 individu serta mewujudkan 69 peluang pekerjaan, 49 dalam pembinaan, dan 20 dalam operasi.
Pengarah Pangolin Resort, Datuk Sri Thomas Lau berkata, projek itu bertujuan menyerlahkan keindahan pesisir pantai Sarawak, sekali gus merancakkan industri pelancongan dan menyokong ekonomi tempatan.
BPMB merupakan institusi kewangan pembangunan milik penuh Menteri Kewangan Inc (MOF Inc).- DagangNews.com
standard
