ICT Zone Asia sasar kutipan RM26.6 juta melalui IPO Pasaran ACE 

LocalBusiness & Finance
13 May 2025 • 2:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ICT Zone Asia sasar kutipan RM26.6 juta melalui IPO Pasaran ACE

image is not available

13/05/2025 - 14:53

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 13 Mei – ICT Zone Asia Bhd melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) dan menyasarkan untuk mengumpul RM26.6 juta daripada pemindahan penyenaraian daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE Bursa Malaysia.

IPO pada harga 20 sen sesaham itu melibatkan 133 juta saham baharu sehingga 21 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih.

Permohonan ditutup pada 20 Mei dan penyenaraian dijadualkan pada 3 Jun 2025.

Daripada jumlah saham baharu itu, 39.77 juta diperuntukkan kepada orang awam, 4.14 juta kepada individu layak, dan 89.09 juta untuk penempatan kepada pelabur Bumiputera.

IPO tersebut mewakili 16.72% daripada modal saham diperbesar dan menawarkan pegangan 23.62% dalam syarikat.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Tommy Lim Kok Kwang berkata, IPO tersebut akan memperkukuh kedudukan syarikat dalam bidang pembiayaan teknologi.

"Model kami berasaskan pendapatan berulang dan buku pesanan belum dibil akan terus berkembang bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.

Daripada RM26.6 juta yang dijangka terkumpul, RM21 juta digunakan untuk pembelian aset ICT bagi menyokong perniagaan pembiayaan teknologi, RM1.5 juta untuk jualan dan pemasaran, manakala selebihnya bagi menampung kos penyenaraian.

Hasil daripada tawaran jualan akan diperoleh sepenuhnya oleh pemegang saham penjual iaitu ICT Zone Holding Sdn Bhd dan pengasas bersama, Datuk Seri Ng Thien Phing, yang bersama-sama memegang 72.85% kepentingan dalam syarikat.

Ng juga merupakan pengasas dan Pengerusi Eksekutif SkyWorld Development Bhd.

Pemegang saham utama termasuk ICT Zone Holding, Tommy Lim, keluarga terdekat serta adik-beradik Ng dikenakan sekatan jualan selama enam bulan, diikuti tempoh sekatan tambahan enam bulan bagi 45% saham mereka. Hanya satu pertiga daripada saham terkunci dibenarkan untuk dijual setiap tahun.

Bagi separuh kedua berakhir 31 Januari 2025, ICT Zone Asia mencatat keuntungan bersih RM4.42 juta, susut 16.8% berbanding tahun lalu susulan kos kewangan dan kakitangan lebih tinggi serta perbelanjaan penyenaraian.


Pendapatan pula meningkat 24.8% kepada RM70.1 juta hasil pertumbuhan pembiayaan dan dagangan teknologi.

Bagi tahun penuh, keuntungan bersih naik 20% kepada RM8.8 juta, manakala hasil meningkat 11.7% kepada RM127.8 juta.

Malacca Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin bersama, dan ejen penempatan bersama, manakala Kenanga Investment Bank merupakan penaja jamin dan ejen penempatan bersama. SCS Global Advisory (M) Sdn Bhd ialah penasihat kewangan bagi penyenaraian itu.- DagangNews.com

standard