sarah12/10/2026 - 15:02 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Okt - Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mula mengagihkan bantuan khas RM1,000 kepada kira-kira 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah secara berperingkat mulai Rabu ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pengagihan itu dilaksanakan susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2027.
“Susulan arahan Perdana Menteri, seawal Rabu ini kita akan mengagihkan bantuan ini secara berfasa dan berperingkat.
“Kita akan menjemput kumpulan pertama pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah ke MOT, dan sebahagian daripada mereka akan menerima baucar pada hari Rabu ini,” katanya pada sidang media pasca Belanjawan 2027 di Putrajaya.
Beliau berkata, bantuan itu dapat disalurkan walaupun Belanjawan 2027 masih belum diluluskan kerana kerajaan menggunakan hasil yang telah diperoleh daripada penjualan nombor pendaftaran khas siri H, yang menjana RM91 juta pada tahun ini.
“Apa yang diumumkan Perdana Menteri itu, hasilnya sudah masuk untuk tahun ini menerusi penjualan nombor siri atau nombor pendaftaran istimewa H yang menjana RM91 juta.
“Jadi, kita kembalikan hasil itu kepada pemandu teksi, kereta sewa dan pemandu bas sekolah,” katanya.
Menurut Loke, kerajaan komited menyalurkan bantuan berkenaan dalam tempoh terdekat bagi membolehkan pemandu beragama Hindu menerima bantuan sebelum sambutan Deepavali.
Pampasan mangsa kemalangan akibat alkohol dan dadah
Dalam perkembangan lain, beliau berkata MOT menyasarkan untuk membentangkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan bagi mewajibkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa pada sidang Parlimen pertama tahun depan.
Katanya, kertas dasar berhubung cadangan itu telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan prinsip pelaksanaannya dipersetujui, menjadikan langkah berkenaan dasar kerajaan bagi 2027.
“Keputusan dasar sudah dibuat oleh Jemaah Menteri. Tugas MOT sekarang adalah menyediakan draf rang undang-undang bersama Jabatan Peguam Negara (AGC), dan proses itu memerlukan masa kerana terdapat pelbagai aspek teknikal yang perlu diteliti,” katanya.
Loke berkata, sistem sedia ada memisahkan prosiding jenayah daripada tuntutan sivil bagi mendapatkan pampasan, sekali gus menyukarkan sesetengah mangsa mendapatkan ganti rugi.
Ketika ini, pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah boleh didakwa oleh pihak berkuasa melalui proses jenayah, manakala mangsa perlu memfailkan tuntutan sivil secara berasingan untuk mendapatkan pampasan.
“Masalahnya, ada mangsa yang tidak mempunyai kemampuan untuk memfailkan kes sivil. Selain itu, mereka mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk mendapatkan pampasan melalui proses berkenaan,” katanya.
Justeru, pindaan yang dicadangkan bertujuan menggabungkan kedua-dua proses itu supaya mahkamah boleh memutuskan pampasan kepada mangsa ketika mendengar kes jenayah berkenaan.
“Apa yang kita mahu lakukan ialah menggabungkan kedua-duanya supaya apabila kes dibawa ke mahkamah, hakim juga boleh memutuskan jumlah pampasan kepada mangsa.
“Ini merupakan prinsip yang diamalkan secara universal dan juga selaras dengan prinsip Islam, iaitu *diyah*, yang memastikan mangsa mendapat pampasan,” katanya.- DagangNews.com






