Bantuan ‘mencurah’ lepas kisah disiar Kosmo!

18 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bantuan ‘mencurah’ lepas kisah disiar Kosmo!

SEREMBAN – Kisah tiga beranak yang hidup dalam ke­sempitan di Kampung Machang Hilir Lenggeng di sini mendapat perhatian beberapa pihak yang tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban hidup mereka.

Ahli Dewan Undangan Ne­geri Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin tampil memberi sumba­ngan RM3,000 selepas membaca kisah hidup mereka yang terpaksa menjadikan telur masak kicap sebagai hidangan harian selepas disiarkan Kosmo!.

Selain itu, dua beradik kembar berusia 14 tahun, Nur Alya Shafiqa Ibrahim dan Muhammad Fariz Adam Ibrahim, akan dibantu melalui urusan pemindahan sekolah serta pencarian rumah sewa yang lebih selesa dan berdekatan dengan sekolah baharu mereka.

Mohd Asna berkata, beliau bersama Pengarah Pembangunan Negeri mengadakan kunju­ngan bagi meneliti masalah dihadapi ibu tunggal, Nurain Afeeza Ab. Ghani, 37, dan dua anaknya.

Menurutnya, kedua-dua beradik itu akan dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Klana Putra, Lenggeng, dengan bantuan Pengarah Pendidikan Negeri.

“Selepas persetujuan dicapai, kita akan memohon supaya urusan pemindahan sekolah mereka dapat dilakukan segera.

“Kita juga akan mencari rumah sewa lebih selesa dan berdekatan dengan sekolah, selain menyedia­kan basikal untuk setiap seorang bagi memudahkan pergerakan mereka,” katanya.

Menurut Mohd. Asna, keluarga berkenaan menerima bantuan bulanan berjumlah RM1,000 melalui bantuan bakul makanan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Tambahnya, pihaknya akan memastikan tiada keluarga yang ketinggalan terutamanya di kawasan Lenggeng, memandangkan Negeri Sembilan menyasarkan sifar kemiskinan.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan kehidupan daif Nurain bersama dua anaknya yang terpaksa berjimat cermat sehingga telur goreng berlaukkan kicap menjadi hidangan harian mereka.
Keadaan itu menyebabkan kedua-dua anaknya ke sekolah tanpa wang saku.

The post Bantuan ‘mencurah’ lepas kisah disiar Kosmo! appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved