
Kota Kinabalu: Pelbagai bantuan pendidikan disediakan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor bukan ‘gula-gula’ pilihanraya.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ariffin Arif berkata bantuan itu sudah wujud sejak empat tahun lalu dan bukannya ketika menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Menurutnya, bantuan pendidikan di bawah beberapa agensi kerajaan itu juga bertujuan memastikan setiap anak Sabah berkelayakan mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Kira-kira 76,000 anak-anak Sabah telah dibantu di bawah pelbagai bantuan pendidikan disediakan kerajaan dengan peruntukan RM406 juta sejak diperkenalkan pada 2020.
“Sebanyak RM20 juta telah dibelanjakan di bawah Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk bantu anak-anak kita menerusi 15 inisiatif bermula dari sekolah rendah, menengah hingga universiti.
“Jadi ini bukan ‘gula-gula’ pilihan raya kerana telah wujud sejak empat tahun lalu lagi dan bukannya dekat-dekat pilihan raya ini,” katanya pada Penyampaian Bantuan TPNS Kepada Sekolah-Sekolah Terjejas Banjir, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama Pengerusi Kumpulan Yayasan Sabah Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) Datuk Jumain Abd Ghani.
Bercakap mengenai majlis itu, Ariffin yang juga Exco Pendidikan berkata sebanyak RM351,000 diperuntukan di bawah TPNS untuk membantu 57 sekolah terjejas akibat banjir, baru-baru ini.
Katanya, ia termasuk bantuan Pusat Penempatan Sementara (PPS) melibatkan lapan sekolah termasuk Institut Penguruan Gaya (IPG) yang turut terjejas.
“Setiap 57 sekolah terjejas di seluruh Sabah masing-masing menerima RM5,000 manakala RM76,000 untuk setiap PPS dan RM10,000 untuk IPG Gaya.
“Bantuan TPNS ini merupakan kali ketiga iaitu kali kedua tahun ini manakala sekali pada tahun lalu bagi membantu sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir,” katanya.

