‘Banyak Lagi Kerja Nak Dibuat, Bukan Rancang Serbuan Khalwat’ - Amirudin

LocalPolitics
17 Oct 2026 • 6:53 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

‘Banyak Lagi Kerja Nak Dibuat, Bukan Rancang Serbuan Khalwat’ - Amirudin

SHAH ALAM - PKR menepis dakwaan kononnya parti itu menggunakan isu penahanan pemimpin politik atas kes khalwat sebagai taktik untuk menjatuhkan lawan politik.

Naib Presidennya, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata PKR tidak pernah menjadikan urusan peribadi individu sebagai modal dalam persaingan politik.

“Banyak lagi perkara yang perlu kami uruskan, takkanlah kami nak sibuk merancang serbuan khalwat.

“Perkara seperti ini tidak pernah berlaku. Malah, tidak pernah timbul sebarang perbincangan atau perancangan, sama ada secara tertutup mahupun terbuka, untuk memerangkap lawan politik. Itu bukan cara kami,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang bekas menteri yang juga pemimpin politik ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Petaling Jaya kerana disyaki berkhalwat dengan seorang wanita dipercayai pengasas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Hari ini, bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengesahkan beliau merupakan antara dua individu yang ditahan dalam operasi berkenaan.

Sementara itu, mengulas persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Amirudin yang juga Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) berkata, gabungan itu sedang memuktamadkan beberapa perkara penting sebelum menentukan langkah seterusnya.

Beliau menjangkakan hala tuju PH bagi menghadapi pilihan raya berkenaan akan lebih jelas dalam tempoh seminggu lagi.

“Dalam tempoh seminggu lagi, saya menjangkakan kita sudah mempunyai gambaran lebih jelas mengenai persiapan menghadapi pilihan raya ini.

“Kita akan mengetengahkan calon yang berkualiti dan proses pemilihan kini di peringkat tapisan akhir,” katanya.

Menurut Amirudin, pemilihan calon turut mengambil kira sumbangan mereka kepada masyarakat serta pengalaman yang dimiliki.

Beliau berkata, di beberapa kawasan, parti itu juga mahu memberi ruang kepada calon tertentu untuk menimba pengalaman, terutama di kawasan yang mempunyai sokongan akar umbi yang lebih rendah.

“Ini sebahagian daripada strategi jangka panjang parti dan gabungan PH,” katanya. - Getaran, 17 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved