Banyak 'manis-manis', mungkin pilihan raya tahun depan - Hamzah

LocalPolitics
12 Oct 2026 • 1:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Banyak 'manis-manis', mungkin pilihan raya tahun depan - Hamzah
Hamzah ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Peningkatan peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam Belanjawan 2027 memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) mungkin diadakan tahun depan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata belanjawan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sarat dengan pengumuman berbentuk ‘gula-gula’ susulan peningkatan perbelanjaan mengurus sebanyak 11.41 peratus kepada RM376.8 bilion.

“Apabila saya meneliti peruntukan kepada SPR, jumlahnya meningkat. Jadi, kita fahamlah sebab itu saya rasa belanjawan tahun depan hanya menawarkan banyak ‘manis-manis’ yang diumumkan.

“Kita fahamlah, tahun depan mungkin ada pilihan raya. Ataupun selepas pembentangan belanjawan ini, itupun jika diluluskan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Jumaat lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM510 bilion bagi tahun 2027, berbanding RM470 bilion pada tahun ini.

Jumlah berkenaan meliputi RM376.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus Persekutuan, RM83 bilion bagi perbelanjaan pembangunan Persekutuan dan RM25 bilion bagi pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Dalam pada itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menegaskan bahawa hasil negara hanya dianggarkan berjumlah RM380.8 bilion, manakala perbelanjaan mengurus mencecah RM376.8 bilion, iaitu 99 peratus daripada hasil kerajaan.

“Ini bermakna, bagi setiap RM1 hasil kerajaan, hanya 1 sen digunakan untuk tujuan pembangunan.

“Sebab itu, saya ingin mengajak Dewan melihat Belanjawan 2027 bukan sekadar sebagai dokumen kewangan tahunan, tetapi sebagai satu ujian terhadap janji dan wawasan seorang Perdana Menteri,” ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved