PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ibu bapa hadir ke sekolah anak masing-masing bagi mengetahui perkembangan pendidikan anak-anak selain berpeluang bertemu guru untuk mendapatkan nasihat berkaitan pembelajaran dan disiplin sewaktu penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM200, tahun depan.
Berucap di majlis pelancaran Prakarsa AI Pendidikan Negara: AI Temu AI, beliau berkata, pemberian itu tidak akan diserahkan terus ke rumah kerana kerajaan mahu ibu bapa turut mengambil tahu keadaan serta perkembangan anak-anak di sekolah.
“Sebab itu saya beritahu kepada Kementerian Pendidikan (KPM), untuk tahun depan, semua anak-anak akan dapat RM200 tetapi berdasarkan pengalaman, kita minta ibu bapa datang ke sekolah. Kita tak serah wang itu ke rumah.
“Kerana kita mahu ibu bapa itu tahu sekolah anaknya, jumpa guru-guru dan guru boleh beri nasihat,” katanya di sini pada Rabu.
Anwar turut meminta KPM mengatur pertemuan antara guru, murid dan ibu bapa supaya pihak sekolah dapat berkongsi maklumat mengenai tingkah laku serta perkembangan anak-anak.
“Kalau tak datang ke sekolah, Fadhlina, (Menteri Pendidikan), jangan bagi wang itu,” tegasnya.
Menurut beliau, tanggungjawab mendidik anak-anak tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah, sebaliknya ibu bapa perlu memainkan peranan bersama dalam membentuk disiplin dan akhlak mereka.
“Mana mungkin keluarga diserah 100 peratus mendidik anak ke sekolah? Salah. Ibu bapa mempunyai juga tanggungjawab,” katanya.
Menurut beliau, isu disiplin dan buli tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak sekolah, sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa dalam membentuk tingkah laku serta akhlak anak-anak.
Dalam ucapan sama, Anwar berkata, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan perlu disertai pembentukan nilai dan akhlak, selain tidak menggantikan asas pembelajaran seperti membaca dan mengira.
Beliau menegaskan teknologi itu sepatutnya membantu murid menjadi lebih berpengetahuan, namun pendidikan tetap perlu melahirkan insan yang baik serta berdisiplin.
“AI bukan menguasai kita. Kita yang harus menguasai AI," katanya.





