
PUTRAJAYA, 25 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi sesi persekolahan 2027 dibuat di sekolah bagi menggalakkan ibu bapa hadir bertemu dengan guru, sekali gus dapat membincangkan perihal pendidikan anak masing-masing.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata justeru, ibu bapa perlu ke sekolah anak mereka untuk menerima bantuan tersebut, yang ditingkatkan kepada RM200 tahun depan, berbanding RM150 sebelum ini bagi setiap murid.
"Sebab itulah saya beritahu kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bahawa tahun depan, anak-anak akan dapat RM200. Tetapi, kita tidak serahkan wang itu ke rumah (bagi kes tertentu) kerana kita mahu ibu bapa datang sendiri ke sekolah berjumpa dengan guru-guru," kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis Peluncuran Prakarsa Kecerdasan Buatan (AI) Pendidikan Negara "AI Temu AI" di sini, hari ini.
Anwar berkata pihak sekolah dicadangkan agar mengaturkan sesi pertemuan membabitkan guru, murid dan ibu bapa bagi membolehkan guru berkongsi tentang perkembangan serta tingkah laku murid di sekolah.
Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” pada 9 Okt lepas mengumumkan BAP bagi sesi 2027 ditingkatkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid, membabitkan 5.3 juta penerima dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan ibu bapa supaya tidak meletakkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik murid kepada pihak sekolah, sebaliknya mereka perlu memainkan peranan bersama-sama guru dalam membentuk sahsiah dan disiplin anak-anak.
Anwar berkata pendidikan bukan sekadar proses menimba ilmu, sebaliknya bertujuan membentuk manusia yang baik, berdisiplin dan mempunyai nilai akhlak yang memerlukan kerjasama rapat antara ibu bapa dengan guru.
Beliau turut mengingatkan murid supaya menghargai pengorbanan ibu bapa termasuk menunjukkan kasih sayang dan menghormati mereka.
Sementara itu, Perdana Menteri meminta KPM memastikan setiap murid diberi judul buku untuk dibaca sepanjang cuti persekolahan bulan depan dengan sekurang-kurangnya dua buku perlu dihabiskan pembacaannya bagi memastikan budaya membaca terus dapat dipupuk meskipun ketika sedang bercuti.
"Bulan Disember cuti. Saya nak minta Menteri Pendidikan (Datuk Seri Fadhlina Sidek), Ketua Pengarah Pendidikan (Datuk Dr Mohd Azam Ahmad) pastikan cuti ini, anak-anak mesti diberi judul buku yang wajib dibaca," kata beliau.





