Bapa direman kes amang seksual, aniaya dua anak usia tujuh dan tiga tahun

12 Aug 2026 • 5:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bapa direman kes amang seksual, aniaya dua anak usia tujuh dan tiga tahun
Seorang lelaki direman lima hari bermula Rabu selepas disyaki melakukan amang seksual dan penganiayaan fizikal terhadap dua anak masing-masing berusia tujuh dan tiga tahun.

MELAKA - Seorang lelaki direman lima hari bermula Rabu selepas disyaki melakukan amang seksual dan penganiayaan fizikal terhadap dua anak masing-masing berusia tujuh dan tiga tahun dalam kejadian antara Mei lalu hingga Ogos.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 4 petang, Selasa lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berusia lingkungan 40-an dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya pada Mei lalu dan anak perempuan berusia tiga tahun pada Jun 2026.

“Suspek turut disyaki menganiaya kedua-dua mangsa secara fizikal pada Ogos 2026. Kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah di Sungai Udang.

“Kedua-dua mangsa telah dirujuk ke Hospital Melaka bagi menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, suspek ditahan kira-kira jam 11.35 malam Selasa oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D8 dan D11, Jabatan Siasatan Jenayah Melaka.

Ujarnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau, manakala hasil saringan air kencing adalah negatif.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,” katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved