Bapa redah banjir paras paha, dukung anak ke sekolah

LocalEnvironment
11 Nov 2026 • 1:49 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Bapa redah banjir paras paha, dukung anak ke sekolah

SHAH ALAM, 11 NOV: Kasih seorang bapa yang sanggup meredah banjir setinggi paras paha sambil mendukung anak di atas bahu untuk menghantarnya ke sekolah di Kampung Melayu Subang pagi tadi mengundang rasa sebak seorang guru.

Momen itu dikongsikan menerusi video di media sosial Threads yang memaparkan lelaki berkenaan mengharungi kawasan dinaiki air bersama anaknya.

Guru terbabit menerusi hantaran sama meluahkan rasa syukur apabila murid berkenaan selamat tiba di sekolah meskipun terpaksa melalui keadaan banjir.

"Cikgu terus nangis bila tengok video ini. Alhamdulillah awak selamat sampai sekolah.

"Semoga dipermudahkan segala urusan awak sekeluarga," tulisnya.

Guru berkenaan turut mengajak pengguna media sosial mendoakan keselamatan dan kesejahteraan penduduk Kampung Melayu Subang yang sekali lagi berdepan banjir.

Perkongsian itu mengundang reaksi sebak pengguna media sosial yang tersentuh melihat pengorbanan seorang bapa demi memastikan anaknya dapat meneruskan persekolahan.

Image from: Bapa redah banjir paras paha, dukung anak ke sekolah
Keadaan rumah penduduk di Kampung Melayu Subang yang dinaiki air susulan banjir kilat ketika hujan lebat pada 11 November 2026. Foto Threads

Pengguna Threads, @syhznnani meluahkan rasa sedih melihat kesungguhan bapa berkenaan yang sanggup meredah banjir demi pendidikan anaknya.

"Aaa sedihnya, demi pembelajaran anak, si ayah sanggup redah banjir. Belajar rajin-rajin adik," tulisnya.

Seorang lagi pengguna, @asyraf_khabidin turut memuji didikan keluarga terbabit apabila anak berkenaan masih bersemangat untuk ke sekolah meskipun berdepan keadaan mencabar.

"Allahuakbar sedihnya. Dalam keadaan yang mencabar macam ini pun si kecil masih nak ke sekolah. Hebat didikan keluarga ini.

"Saya doakan mudah-mudahan dipermudahkan urusan kalian sekeluarga dan semua mangsa banjir," katanya.

Terdahulu, Kampung Melayu Subang sekali lagi dilanda banjir kilat susulan hujan lebat awal pagi tadi, menyebabkan beberapa kawasan termasuk Jalan Merbau dinaiki air.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong menjalankan pemantauan di kawasan terjejas bermula jam 8.02 pagi bagi menilai keadaan banjir.

View on Threads

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved