
Seorang jurutera warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendedahkan anak kandungnya kepada risiko kecederaan fizikal selepas tular tindakan melampau meninggalkan mangsa berusia 12 tahun di susur keluar Plaza Tol Nilai, minggu lalu.
Jiao Bo, 45, membuat pengakuan terbabit di hadapan Hakim Datin M Kunasundary selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal pada jam 1.21 tengah hari di lokasi kejadian.
Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.
TularSebelum ini, kes berkenaan tular selepas seorang lelaki warga China ditahan polis susulan tindakan meninggalkan anaknya di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya, punca kejadian berpunca daripada pertengkaran dua beradik di dalam kereta yang menyebabkan bapa mereka berang lalu bertindak meninggalkan salah seorang daripada mereka sebagai pengajaran.
Rayuan Jaminan Dan Syarat MahkamahTimbalan Pendakwa Raya, Siti Khairiah Abdul Razak, terdahulu tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan ia kes serius, manakala mangsa kini berada di bawah jagaan ibunya.
Bagaimanapun, peguam bela Shahmi Iffah Mohd Arshad memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga dan sudah menetap di Malaysia selama 10 tahun.
Mahkamah akhirnya membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin warga tempatan.
Antara syarat tambahan yang dikenakan termasuklah menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang mendekati atau mengganggu mangsa. Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Disember ini bagi menunggu laporan forensik..
Sumber Harian Metro






