Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Hanya kerana masalah kewangan dan tidak mampu menanggung kos perbelanjaan, sepasang suami isteri disyaki membunuh anak mereka yang baru sahaja berusia satu tahun lapan bulan.
Lebih meruntun hati, perbuatan kejam itu didakwa dilakukan dengan menenggelamkan dan melemaskan mangsa berulang kali di dalam baldi. Malah tindakan suspek makin kejam selepas mangsa meninggal dunia, mayatnya kemudian dibuang di lokasi lain.
Artikel berkaitan : Malaysia Catat Penurunan Kelahiran Bayi, Kadar Kesuburan Kini Cuma 1.5 Anak Seorang Wanita
Artikel berkaitan : Ingatkan Bayi Meragam Biasa-Biasa, Rupanya Boleh Jadi Tanda Awal Gangguan Pernafasan Akibat Jerebu
Tak mengaku bersalah, bagi alasan dah tak mampu nak bela
Insiden menyayat hati ini dilaporkan berlaku di sebuah tandas awam di Pasar Kebayoran Lama, Jakarta Selatan, Indonesia pada 31 Oktober lalu.
Suspek yang merupakan bapa tiri mangsa baru sahaja berusia 22 tahun, manakala ibu kandungnya pula berumur 19 tahun.
Selepas melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan tersebut, kedua-dua mereka bertindak membuang mayat mangsa di kawasan Bendungan Hilir, Jakarta Pusat.

Ketua Polis Kebayoran Lama, Seala Syah Alam memaklumkan bahawa kedua-dua suspek mengaku bertindak sedemikian rupa berpunca daripada ketidakmampuan mereka untuk menyara kanak-kanak tersebut.
“Kanak-kanak itu dibunuh oleh ibu kandung dan bapa tirinya. Motif kejadian adalah masalah ekonomi, mereka tidak mampu menyaranya,” katanya pada Isnin.
Menurut pihak polis lagi, kedua-dua individu berkenaan kini telah pun ditetapkan sebagai suspek rasmi dalam kes kematian kanak-kanak malang itu.
Mereka kini berdepan dengan tindakan undang-undang di bawah peruntukan perlindungan kanak-kanak dan Kanun Jenayah Indonesia berhubung kematian mangsa.
Sumber : mStar Online
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


