
Baik lelaki ataupun perempuan, jika sudah berkenan terhadap seseorang, pasti akan melakukan apa sahaja asalkan orang yang kita suka bahagia.
Namun, setiap orang diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak terlalu cepat percaya lagi-lagi jika individu itu baru dikenalinya.
Baru Kenal Tiga Hari Di Facebook, Kenalan Wanita Minta Berbogel
Baru sahaja tiga hari berkenalan, seorang lelaki bukan sahaja kecewa malah ditipu oleh wanita yang dikenalinya menerusi media sosial.
Apa yang lebih teruk adalah lelaki yang dikenali sebagai Teh itu turut diugut oleh wanita berkenaan yang mahu menyebar gambar dan video bogelnya.
Menurut Teh, dia mengenali wanita tersebut pada 25 Julai yang lalu menerusi platform media sosial Facebook.
Sepanjang tempoh perkenalan, mereka saling berbalas mesej menerusi Facebook Messenger kerana Teh terpikat dengan kecantikan wanita itu yang ditunjukkan menerusi gambar profilnya.
“Pada jam 11 malam, 27 Julai lalu, ketika saya berada di rumah di Ipoh, saya menerima panggilan video daripada wanita terbabit.
“Dia meminta saya berbogel memandangkan kami akan menjadi pasangan kekasih sebelum saya menuruti kemahuannya.
“Tiba-tiba, wanita itu mengugut mahu menyebarkan rakaman video bogel saya di media sosial dan meminta saya menyerahkan sejumlah wang kepadanya,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Minta Masukkan RM3,000 Ke Dalam Akaun Bank
Jelas Teh, dia menerima mesej ugutan daripada nombor tidak dikenali menerusi aplikasi WhatsApp yang meminta dirinya untuk memasukkan duit sebanyak RM3,000 ke dalam satu akaun bank.
“Dia mengugut akan menyebarkan gambar panggilan video berkenaan.
“Setakat ini (semalam), saya tidak memindahkan wang ke akaun bank terbabit kerana tiada duit,” jelasnya.
Tambah Teh lagi, dia telahpun membuat laporan polis berhubung ugutan berkenaan.
Akaun Bank Dipercayai Milik Keldai Akaun
Dalam pada itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak Mohd Rawi Abdullah mendedahkan pihaknya sering menerima aduan berkaitan ugutan yang membabitkan pemindahan sejumlah wang ke dalam akaun bank yang didalangi ‘scammer’.
“Akaun bank digunakan sindiket termasuk kes yang dihadapi Teh dipercayai milik keldai akaun.
“Gambar profil Facebook penipu itu menunjukkan wanita Tionghua, namun apabila kita semak nombor akaun bank yang diberikan kepada Teh, kita dapati penama akaun itu adalah wanita Melayu, ini berkemungkinan keldai akaun,” katanya.
Malah, Mohd Rawi turut meminta agar orang ramai sentiasa berhati-hati dan tidak menyerahkan atau meminjamkan akaun bank kepada orang lain kerana perbuatan itu berisiko disalahgunakan oleh sindiket.
“Pada masa sama, kita harap polis dan pihak berkuasa berkaitan dapat menahan penjenayah ini untuk diadili,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Sanggup Tipu Sebagai Doktor Demi Dapatkan Gambar Bogel Wanita, Lelaki Malaysia Dipenjara 40 Bulan Di Singapura
Baca Artikel Berkaitan: Jual Video Seks Sendiri Berharga RM85, Pasangan Kekasih Di Indonesia Ditahan
Source:



