KOTA BHARU - Pertemuan terakhir Kamarudin Salleh dengan anaknya Dr Ainul Baroah yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak hari ini, adalah ketika mangsa pulang bercuti sempena cuti sekolah sebelum kembali bertugas di negeri itu Ahad lepas.
Kamarudin, 69, berkata, anaknya seorang yang pendiam, sangat baik terhadap keluarga dan banyak membantu mereka.
"Dia macam biasa, senyum dan tidak banyak bercakap. Bila balik, dia bersama anak-anak saudara dan keluarga,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, di sini, malam tadi.
Kamarudin berkata beliau menerima berita mengenai kejadian itu daripada besannya kira-kira 5 petang.
"Dia telefon selepas sembahyang Asar dan kata ada berita buruk. Sampai dua tiga kali dia sebut berita buruk. Saya tanya berita apa, dia kata helikopter anak saya terbakar,” katanya.
**media[3640936]**
Menurut pesara guru itu, ketika menerima berita berkenaan, keluarga masih belum mendapat pengesahan mengenai keadaan Dr Ainul Baroah, 32, sebelum menantunya menghubunginya petang tadi untuk memaklumkan anaknya disahkan meninggal dunia.
"Anak saya (Dr Ainul Baroah) bertugas di Hospital Miri dan sudah hampir dua tahun berkhidmat di Sarawak, sebelum itu bertugas kira-kira dua tahun di Tanah Merah," katanya.
Kamarudin berkata, tugas anaknya di Sarawak turut melibatkan pemantauan pesakit di beberapa kawasan termasuk Baram, yang memerlukan perjalanan menggunakan helikopter kira-kira sekali seminggu.
**media[3640941]**
ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara bawa lima penumpang terhempas - CAAM
Nahas helikopter: Status mangsa belum dipastikan, SAR sedang dijalankan – Polis Sarawak
Nahas helikopter: KKM hubungi waris, ahli keluarga mangsa
Nahas helikopter: KKM maklum Dr Ainul meninggal dunia - Keluarga
Residen Miri sahkan semua mangsa helikopter terhempas meninggal dunia
Nahas helikopter: Al-Fatihah buat Kapten Zainol Afiq - Adik ipar mangsa
Nahas helikopter: Ibu Dr Ainul pengsan terima khabar duka - Bapa
'Dr Ainul tak takut naik helikopter, bersemangat kerja di pedalaman'
Nahas helikopter: 'Dr Ainul mahu sambung belajar jadi doktor pakar' - Bapa kongsi perbualan terakhir
Nahas helikopter: 'Saya berdoa semoga Dr Ainul ditempatkan di syurga' - Ibu
**media[3640943]**
Sementara itu, ibu Dr Ainul Baroah, Rogayah Mohd Noor, 69, yang juga pesara guru, menyifatkan anaknya sebagai seorang yang baik, patuh dan tidak pernah menyusahkan keluarga sejak kecil.
"Dia anak yang baik. Masa balik bercuti baru-baru ini, kami nampak dia macam lain daripada biasa, wajahnya nampak berseri dan berbeza.
"Dia tidak pernah menyusahkan kami dan sejak kecil tidak pernah melawan, dia seorang anak yang patuh. Setiap kali dia balik rumah dia akan masak," katanya.
Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak, hari ini.
**media[3640942]**
Menurut CAAM, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi FDS ketika kejadian.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilapor berkata helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.
Dalam pada itu, Residen Bahagian Miri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri Galong Luang ketika dihubungi mengesahkan kesemua lima individu di dalam helikopter itu meninggal dunia dalam kejadian kira-kira 3.40 petang.
Selain Dr Ainul Dr Ainul Baraah, media melaporkan empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Kapten Zainol Afriq, penolong pegawai perubatan Alexson Adit dan dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya. - Bernama






