
PETALING JAYA: Helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek Long Lellang, Ulu Baram tidak dilengkapi voice recorder dan kotak hitam (black box).
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa setakat ini tidak mempunyai maklumat berhubung kemungkinan wujud panggilan kecemasan yang dibuat juruterbang sebelum kejadian.
Bagaimanapun, Bahagian Siasatan Kemalangan Udara akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta bagaimana kemalangan itu berlaku.
“Setakat ini tiada sebarang panggilan kecemasan diterima pihak APC berhubung kejadian berkenaan.
“Sebaliknya, maklumat awal mengenai kejadian diperoleh daripada penduduk kampung sebelum pasukan berkaitan menjalankan siasatan di lokasi,” katanya dalam sidang akhbar di Miri, Sarawak di sini hari ini.
Katanya,siasatan lanjut akan merangkumi pemeriksaan di lokasi kejadian selain pengumpulan maklumat dan bukti berkaitan bagi membantu pihak berkuasa menentukan punca sebenar kemalangan.
Dalam pada itu, katanya, berdasarkan siasatan awal, helikopter berkenaan kali terakhir menjalani penyelenggaraan pada 24 Ogos lalu.
“Selepas menjalani penyelenggaraan tersebut, helikopter berkenaan dibenarkan digunakan untuk penerbangan sehingga 100 jam, sekali gus menunjukkan ia masih dalam tempoh penggunaan yang ditetapkan selepas penyelenggaraan terakhir.
“Siasatan lanjut akan merangkumi pemeriksaan di lokasi kejadian selain pengumpulan maklumat dan bukti berkaitan bagi membantu pihak berkuasa menentukan punca sebenar kemalangan,” katanya. – UTUSAN
The post Helikopter BO-105 tiada kotak hitam appeared first on Utusan Malaysia.






