MELAKA - Bekas pelajar Sekolah Henry Gurney yang baharu dibebaskan Jun lalu selepas menjalani hukuman lebih dua tahun atas kesalahan merogol adiknya, didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Jumaat atas pertuduhan amang seksual terhadap adiknya yang lain.
Tertuduh berusia 21 tahun yang merupakan anak sulung daripada empat beradik mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tidak bekerja itu telah melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap adiknya berusia 15 tahun dalam dua kejadian pada 6 Jun dan 20 Ogos lalu di sebuah kampung dalam daerah Jasin, Melaka.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 jika sabit salah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Rif'ah 'Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan tidak mengganggu atau mendekati mangsa dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan rendah kerana baru sahaja keluar dari pusat pemulihan selain membantu menambah ekonomi keluarga.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM 9,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 29 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.






