Perkhidmatan bas berhenti-henti di Johor Bahru bakal diperkukuh menerusi pelanjutan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) selama lima tahun bagi membantu penyuraian penumpang RTS Link dan memberi manfaat kepada penduduk sekitar.
Menurut kenyataan media Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bertarikh 21 November 2026, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengumumkan pelantikan Handal Indah Sdn. Bhd. (HISB) sebagai pengendali rangkaian SBST Johor Bahru.
AdvertisementPelantikan itu berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2031, dengan nilai kos keseluruhan RM665 juta.
Handal Indah Kendali SBST Johor Bahru Selama Lima Tahun
Pelantikan tersebut menyusuli Majlis Peluncuran Pelanjutan Program SBST Johor Bahru pada 8 Oktober 2026 yang disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan.
Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) pula disempurnakan oleh Ketua Setiausaha MOT, Dato’ Seri Jana Santhiran Muniayan kepada wakil syarikat.
Menurut kenyataan itu, pelantikan pengendali berpengalaman penting bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan pengangkutan awam yang mampan dan cekap.
Langkah berkenaan turut dirangka untuk menyokong keperluan kesalinghubungan apabila RTS Link beroperasi kelak, di samping mempercepatkan peralihan kepada pengangkutan awam rendah karbon.
Jumlah Bas Ditambah Kepada 235 Buah, Termasuk 102 Bas Elektrik
Menerusi inisiatif Kerajaan Persekutuan itu, jumlah bas akan ditambah secara berfasa daripada 162 kepada 235 buah, iaitu peningkatan sebanyak 45 peratus.
Jumlah tersebut merangkumi penyediaan 102 buah bas elektrik, berbanding lapan buah ketika ini, bagi menyokong kelestarian alam sekitar serta meningkatkan keselesaan penumpang.
Jumlah trip bagi laluan utama juga akan ditambah secara berfasa, melibatkan peningkatan kapasiti penumpang keseluruhan rangkaian sebanyak 24 peratus.
Laluan BAS.MY Johor Bahru Bertambah, Masa Menunggu Dikurangkan
Rangkaian SBST Johor Bahru akan disusun semula dan ditambah baik secara berfasa bagi mengurangkan masa perjalanan serta meluaskan liputan perkhidmatan.
Jumlah laluan akan meningkat daripada 21 kepada 23 laluan.
Bagi laluan utama, kekerapan bas pula akan ditingkatkan secara berfasa daripada setiap 20 hingga 30 minit kepada 15 hingga 20 minit, sekali gus mengurangkan masa menunggu penumpang.
RTS Shuttle, DRT Dan Naik Taraf JB Sentral
Penambahbaikan turut merangkumi pengenalan perkhidmatan RTS Shuttle dan perkhidmatan pengantara fleksibel Demand Responsive Transit (DRT).
Selain itu, kerja menaik taraf kemudahan di JB Sentral akan dilaksanakan bagi memperkukuh kesalinghubungan pengangkutan awam.
Kad 30 Hari BAS.MY RM30 Untuk Warganegara Malaysia
Dari segi tambang, Kad 30 Hari BAS.MY ditawarkan pada harga RM30 untuk perjalanan tanpa had bagi warganegara Malaysia.
Tambang percuma pula disediakan menerusi Kad Konsesi BAS.MY kepada pelajar sekolah, siswa, warga emas dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).
MOT dan APAD akan terus memantau prestasi pelaksanaan pengendali bagi memastikan piawaian perkhidmatan dipenuhi.
Selain itu, kami kongsikan pautan lain dibawah.

Dakwaan Penipuan Tempahan Pelancongan Guna Nama MOTAC Dan JWN, Kementerian Minta Orang Ramai Berwaspada
The post Bas Johor Bahru Ditambah Kepada 235 Buah, Pas BAS.MY RM30 Tawar Perjalanan Tanpa Had first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.





