HI Mobility dapat kontrak RM665.68 juta kendali 23 laluan bas di Johor Bahru selama lima tahun

LocalBusiness & Finance
23 Nov 2026 • 9:01 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HI Mobility dapat kontrak RM665.68 juta kendali 23 laluan bas di Johor Bahru selama lima tahun Image from: HI Mobility dapat kontrak RM665.68 juta kendali 23 laluan bas di Johor Bahru selama lima tahun sarah23/11/2026 - 09:01 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov - HI Mobility Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Handal Indah Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM665.68 juta daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mengendalikan 23 laluan bas di Johor Bahru dan kawasan sekitarnya selama lima tahun bermula 2027.

 

Kontrak di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2031, sekali gus memperkukuh kedudukan pengendali bas Causeway Link tersebut dalam rangkaian pengangkutan awam Johor.

 

Menurut HI Mobility dalam kenyataan hari ini, perkhidmatan berkenaan akan menggunakan gabungan bas bersaiz panjang, bas elektrik dan bas mini bagi memenuhi peningkatan permintaan penumpang serta memperluas liputan pengangkutan awam.

 

Rangkaian 23 laluan itu akan menghubungkan kawasan kediaman dengan pusat komersial, peruncitan dan institusi pendidikan utama termasuk Mid Valley Southkey, Toppen Shopping Centre dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

Sokong kesalinghubungan RTS Johor Bahru-Singapura

Pelaksanaan kontrak itu juga dijangka memainkan peranan penting dalam menyokong Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang bakal menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura.

 

Menurut syarikat itu, rangkaian bas berkenaan akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan bagi perjalanan awal dan akhir penumpang, khususnya menghubungkan kawasan perumahan dengan stesen kereta api serta destinasi utama sekitar bandar raya berkenaan.

 

Penggunaan bas elektrik dalam rangkaian tersebut turut menyokong usaha Johor memperluas pengangkutan awam yang lebih mesra alam, selain meningkatkan kesalinghubungan antara perkhidmatan bas dan rel.

 

HI Mobility miliki 921 bas termasuk 65 bas elektrik

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif HI Mobility, Lim Chern Chuen berkata, pelantikan itu mencerminkan keyakinan APAD terhadap keupayaan syarikat mengendalikan rangkaian pengangkutan awam berskala besar.

 

"Ketika rangkaian pengangkutan awam Johor Bahru terus berkembang, khususnya dengan pengenalan RTS Link, penyepaduan pelbagai jenis pengangkutan akan menjadi semakin penting bagi menghubungkan penumpang ke destinasi mereka," katanya.

 

HI Mobility yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Mac 2025 memiliki 921 bas setakat 31 Julai 2026, termasuk 65 bas elektrik, selain menyediakan perkhidmatan bas berjadual, rentas sempadan, sewa khas dan antara bandar di Malaysia serta Singapura. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved