JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Dua kanak-kanak dipercayai mandi di kawasan empangan Jalan Murai 2, Taman Scientex Pasir Gudang di sini ditemukan lemas pada jam 2.12 dan 2.33 pagi pada Isnin.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerusi kenyataan berkata, mangsa pertama, Mohammad Haikal Ramzi Mohamad Khairudi, 12, ditemui jam 2.12 pagi dengan jarak tiga meter dari tebing.
“Mangsa kedua, Muhammad Adam Faris Arman, 11, pula ditemui jam 2.33 pagi pada jarak 15 kaki dengan tebing empangan tersebut.
“Kedua-dua mangsa ditemui pada kedalaman dua meter oleh pasukan penyelamat di air,” kata kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
**media[3610524]**
Terdahulu, JBPM Johor menerima laporan daripada bapa salah seorang mangsa memaklumkan kedua-duanya dikhuatiri lemas susulan penemuan basikal dan selipar di lokasi kejadian.
19 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa.






