
BATU PAHAT – Lima lelaki yang disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang ahli perniagaan sebelum mayat mangsa ditemukan terapung dalam keadaan dililit jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja di sini minggu lalu, disambung reman sehingga Isnin ini.
Perintah reman terhadap kesemua suspek berusia antara 26 hingga 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tempoh sambungan reman itu bermula esok sehingga Isnin bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan dan mengambil keterangan lanjut daripada kesemua suspek.
Kesemua mereka sebelum ini direman selama tujuh hari dan tempoh tahanan berkenaan berakhir hari ini sebelum dibawa semula ke mahkamah bagi proses sambung reman.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam kejadian itu, mayat mangsa berusia 39 tahun ditemukan terapung oleh penduduk kira-kira pukul 11.30 pagi pada 3 Ogos lalu.
Siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai dibunuh dengan cara dijerut pada bahagian leher menggunakan tali sebelum kedua-dua tangannya diikat menggunakan pita pelekat.
Jasad mangsa kemudian dipercayai dibalut menggunakan jaring sebelum dibawa ke lokasi berkenaan dan dicampakkan ke dalam sungai.
Lebih mengerikan, lima ketul batu turut ditemukan pada mayat mangsa yang dipercayai digunakan untuk menenggelamkan jasad berkenaan bagi mengelakkan ia timbul ke permukaan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, misteri kehilangan mangsa sejak 29 Julai lalu akhirnya terjawab selepas mayatnya ditemukan dalam keadaan mengerikan di sungai berkenaan.
“Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang di kawasan Mutiara Rini, Iskandar Puteri dan dikenal pasti oleh waris terdekat berdasarkan pakaian serta barangan peribadi yang ditemukan bersama mayat,”katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati dua daripada lima suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.
Polis turut merampas lima telefon bimbit milik kesemua suspek bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif pembunuhan serta peranan setiap suspek dalam kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Mayat diikat: Lima suspek bunuh ahli perniagaan sambung reman appeared first on Kosmo Digital.





