Batik Air perkenal penerbangan terus Kota Kinabalu-Seoul mulai 12 September 2025

19/05/2025 - 14:40
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 19 Mei – Batik Air bakal memacu pelancongan terus dari Korea Selatan ke Malaysia Timur menerusi pelancaran laluan terus yang menghubungkan Kota Kinabalu, Sabah dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul bermula 12 September 2025.
Laluan itu dijangka meningkatkan akses pelancong Korea Selatan ke Sabah tanpa perlu transit di Kuala Lumpur atau bandar lain, sekali gus menjadikan perjalanan lebih cepat dan mudah.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, laluan baharu itu adalah sebahagian daripada strategi pengembangan syarikat untuk memperkukuh jaringan serantau dan meningkatkan keterhubungan Malaysia Timur.
"Langkah ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara Sabah dan Korea Selatan, malah mencerminkan komitmen syarikat dalam membina rangkaian serantau yang lebih mampan di Asia.
"Dengan peluasan laluan ini, kami membuka lebih banyak peluang kepada pelancong untuk meneroka destinasi baharu selain mengukuhkan hubungan antara budaya, ekonomi, dan komuniti," katanya dalam satu kenyataan.
Sabah mencatat kemasukan hampir 152,000 pelancong dari Korea Selatan dalam tempoh Januari hingga September 2024, menjadikannya antara destinasi pilihan utama rakyat negara itu di Asia Tenggara.
Kota Kinabalu terus menjadi tumpuan pelancong dengan tarikan semula jadi seperti hutan hujan tropika, tapak selam bertaraf dunia, Gunung Kinabalu, dan budaya tempatan yang unik.
Korea Selatan kekal sebagai lima destinasi antarabangsa paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pertubuhan Pelancongan Korea berkata, lebih 300,000 rakyat Malaysia mengunjungi negara itu sepanjang 2024, dengan peningkatan ketara pelancong dari Sabah dan Sarawak.
Pelancaran laluan Kota Kinabalu-Seoul turut memperkukuh kedudukan Kota Kinabalu sebagai hab penerbangan antarabangsa yang kian berkembang, selain menyokong pelancongan dua hala serta usaha memperluas capaian Batik Air ke pasaran Asia Utara.- DagangNews.com
standard


