Bawa dadah 521kg guna jet peribadi, rakyat Malaysia ditahan di Laos

6 Oct 2026 • 6:38 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bawa dadah 521kg guna jet peribadi, rakyat Malaysia ditahan di Laos

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Laos berhubung penahanan seorang warga Malaysia dalam kes rampasan 521 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine daripada sebuah jet peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya belum menerima maklumat terperinci daripada pihak berkuasa dadah Laos berhubung kes berkenaan.

“Setakat ini, kita belum terima maklumat ataupun butiran daripada pihak berkuasa dadah Laos.

“Daripada 13 individu yang ditahan itu, seorang membabitkan rakyat Malaysia dipercayai ditangkap di Laos,” katanya, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Hussein berkata, warga Malaysia berkenaan bukan individu yang menaiki penerbangan dari Subang ke Laos.

Menurutnya, PDRM mengesahkan terdapat penerbangan menggunakan jet peribadi dari Subang ke Laos, namun pesawat itu diterbangkan juruterbang dan pembantu juruterbang warga asing.

Mengulas kemungkinan kes itu mempunyai kaitan dengan kes juruterbang yang ditahan di Indonesia sebelum ini kerana disyaki membawa dadah, Hussein berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

“Dalam siasatan. Terlalu awal untuk kita katakan sama ada ada kaitan atau tidak,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Polis Laos merampas 521kg dadah jenis crystal methamphetamine daripada sebuah jet peribadi yang dilaporkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, dengan 13 individu ditahan berhubung kes itu.

Vientiane Times yang memetik Lao Security Newspaper hari ini melaporkan, operasi keselamatan dijalankan pada 1 Oktober lalu susulan maklumat diterima polis wilayah pada 21 September mengenai sindiket pengedaran dadah yang dipercayai merancang menyeludup narkotik merentasi sempadan melalui udara menggunakan pesawat peribadi.

Menurut laporan itu, polis kemudian menerima maklumat mengenai perubahan jadual penerbangan dan pesawat peribadi berkenaan dijadualkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang pada jam 1.30 tengah hari, 1 Oktober lalu.

Dalam operasi itu, polis menahan 13 individu termasuk juruterbang, pembantu juruterbang, pelancong asing, tiga pekerja syarikat serta tujuh pekerja Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang. – KOSMO! ONLINE

The post Bawa dadah 521kg guna jet peribadi, rakyat Malaysia ditahan di Laos appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved