
MENJELANG fasa baharu dalam kehidupan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah mengambil kesempatan untuk ‘berguru’ tentang alam rumah tangga dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Hampir dua jam diluangkan bersama bekas Timbalan Perdana Menteri itu, malah kesempatan tersebut digunakan pasangan berkenaan untuk mendapatkan nasihat mengenai pengorbanan, kesetiaan dan cabaran membina keluarga.
Menerusi perkongsian di Facebook pada Isnin, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar menyifatkan Wan Azizah sebagai antara individu paling layak untuk memberikan pandangan mengenai kehidupan berumah tangga.
Menurutnya, pengalaman Wan Azizah mengharungi dunia politik selain menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu menjadikan beliau cukup memahami pelbagai cabaran yang hadir dalam kehidupan berkeluarga.
"Hampir dua jam saya dan Bella ‘berguru’ bab perkahwinan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah.
"Kalau nak cari orang paling layak beri nasihat tentang rumah tangga, pengorbanan dan kesetiaan, susah nak lawan beliau.
"Beliau memahami selok-belok dunia politik. Beliau tahu besarnya pengorbanan seorang isteri dan seorang ibu. Diuji berkali-kali, dalam keadaan yang bukan mudah, tetapi tetap teguh dan setia bersama keluarga," katanya.

Keteguhan bekas Timbalan Perdana Menteri Wanita pertama di Malaysia dalam mengharungi pelbagai cabaran kehidupan turut membuatkan Syed Saddiq memberikan gelaran ‘Malaysia’s Compassionate Iron Lady’ kepadanya.
"Sebab itu bagi saya, beliau ialah ‘Malaysia’s Compassionate Iron Lady’," ujarnya.
Pertemuan itu juga mengimbau kembali pengalaman Syed Saddiq yang pernah berkhidmat bersama ibu kepada enam cahaya mata ketika berada dalam Kabinet.
Beliau menyifatkan kesempatan tersebut sebagai satu penghormatan dan keistimewaan yang sentiasa dihargai.
"Saya sendiri pernah mendapat penghormatan berkhidmat bersama beliau dalam Kabinet. Satu penghormatan dan keistimewaan yang saya akan sentiasa hargai.
"Kali ini datang bukan untuk mesyuarat Kabinet… tapi saya dan Bella datang bawa kad kahwin," katanya.
Dalam perkongsian sama, Syed Saddiq turut berterima kasih kepada isteri kesayangan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meluangkan masa berkongsi nasihat, cerita dan pesanan bersama mereka.
Baginya, pertemuan hampir dua jam itu memberikan sesuatu yang cukup bermakna untuk dibawa bersama sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
"Terima kasih Datuk Seri atas hampir dua jam nasihat, cerita dan pesanan untuk kami berdua.
"Insya-ALLAH, nasihat itu kami bawa masuk ke alam perkahwinan," katanya.
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian warganet yang rata-rata menyambut baik usaha pasangan itu mendapatkan nasihat daripada Wan Azizah.
Ramai melihat pengalaman beliau sebagai seorang isteri, ibu dan tokoh politik sebagai sesuatu yang cukup bernilai untuk dijadikan panduan, khususnya buat pasangan yang bakal membina kehidupan bersama.
"Ber’guru’ dengan Kak Wan... knowing betapa berat ujian Kak Wan lalui sejak 90-an hingga hari ini sebagai isteri, yet they’re both still strong. Memang beliau orang terbaik untuk dapatkan nasihat.
"Seeing this heart-warming post, macam mana rakyat Malaysia tak sejuk mata memandang. Semoga dipermudah urusan YB!"
Seorang lagi warganet menyifatkan nasihat mengenai kesetiaan dan ketahanan yang diperoleh daripada Wan Azizah sebagai sesuatu yang tidak ternilai.
"Belajar daripada Datuk Seri Dr Wan Azizah pasal kesetiaan dan ketahanan — memang priceless. Legacy macam ini yang patut generasi muda dengar sendiri, bukan baca saja dalam buku sejarah."
Ada juga yang menganggap Wan Azizah sebagai contoh isteri dan ibu yang boleh dijadikan teladan, selain mendoakan agar urusan perkahwinan Syed Saddiq dan Bella dipermudahkan.
"Datuk Seri memang isteri mithali yang patut dibanggakan dan boleh dijadikan contoh. Terbaik YB Syed Saddiq dan Bella, kalian kutip dan tuntut ilmu daripada orang yang selayaknya."
Dalam nada berseloroh, ada yang menyifatkan sesi bersama Wan Azizah sebagai ‘kursus kahwin’ pasangan itu pada tahap tersendiri.
"Another level YB dan Bella punya advance kursus kahwin. Semoga ALLAH merahmati perkahwinan korang berdua dan untuk Datuk Seri Wan Azizah serta PMX, semoga kekal bahagia di bawah lindungan ALLAH."
Buat Syed Saddiq dan Bella, pertemuan itu pastinya menjadi antara momen bermakna menjelang hari bahagia mereka.
Kad jemputan yang dibawa mungkin menjadi tujuan asal kunjungan, namun hampir dua jam bersama Wan Azizah akhirnya memberikan mereka sesuatu yang jauh lebih berharga untuk dibawa ke alam rumah tangga.






