
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tunangnya, Bella Astillah meluangkan masa hampir dua jam bersama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi mendapatkan nasihat serta pandangan mengenai rumah tangga.
Syed Saddiq berkata, Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menjadi antara sosok paling layak untuk berkongsi mengenai selok-belok alam perkahwinan apabila mengenang kembali kisah perjuangan, pengorbanan dan kesetiaan wanita itu di sisi Anwar.
“Hampir dua jam saya dan Bella ‘berguru’ bab perkahwinan dengan Dr Wan Azizah.
“Kalau hendak cari orang paling layak beri nasihat tentang rumah tangga, pengorbanan dan kesetiaan, susah hendak lawan beliau,” tulisnya pada hantaran Threads, malam tadi.
Bagi Syed Saddiq, Dr Wan Azizah yang pernah menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri itu bukan sahaja aktif di lapangan politik, malah, memiliki pengalaman luas sebagai isteri dan ibu.
Selain berkongsi keperibadian dan detik pertemuan istimewa bersama Dr Wan Azizah, Syed Saddiq turut menyifatkan beliau sebagai wanita Malaysia yang tabah dan penuh kasih sayang.
“Dr Wan Azizah memahami selok-belok dunia politik. Beliau tahu besarnya pengorbanan isteri dan ibu. Diuji berkali-kali, dalam keadaan yang bukan mudah, tetapi tetap teguh dan setia bersama keluarga.
“Sebab itu bagi saya, beliau ialah ‘Malaysia’s Compassionate Iron Lady’,” tulisnya.
Pada hantaran sama, Syed Saddiq sempat mengimbau kenangan berkhidmat dalam Kabinet bersama Dr Wan Azizah yang ketika itu dirinya memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan.
“Saya sendiri pernah mendapat penghormatan berkhidmat bersama beliau dalam Kabinet. Suatu penghormatan dan keistimewaan yang saya akan sentiasa hargai.
“Kali ini datang bukan untuk mesyuarat Kabinet, tapi saya dan Bella datang bawa kad kahwin,” tulisnya.
Sebelum ini, Syed Saddiq dan Bella dilapor mengesahkan bakal disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober depan.
Majlis pernikahan mereka akan berlangsung di aras 118, Menara Merdeka Maybank, di sini, dengan konsep serba putih disulami elemen Arab atau Islamik atas permintaan keluarga.
Syed Saddiq dan Bella dilapor mula berkenalan dengan lebih rapat pada 2025 sebelum mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
The post Dua jam Syed Saddiq minta petua rumah tangga Dr Wan Azizah appeared first on Utusan Malaysia.






