
PETALING JAYA: Bayaran haji kekal empat tahun berturut-turut pada RM33,300 seorang bagi musim 1448H/2027M, meskipun berdepan tekanan inflasi dan kenaikan kos perkhidmatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata, keputusan mengekalkan kos haji Muassasah itu dibuat bagi memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan secara mampan dan saksama, di samping meringankan beban bakal jemaah.
Bagi jemaah kumpulan B40 yang menunaikan haji buat kali pertama, bayaran kekal RM15,000 seorang, manakala kerajaan meneruskan bantuan RM1,000 untuk tahun kelima berturut-turut.
“Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) bagi jemaah B40, termasuk bantuan RM1,000 Kerajaan, dikekalkan pada RM18,300 (55% daripada kos keseluruhan).
“Bayaran bagi jemaah M40 adalah RM23,500 dan HAFIS kekal pada kadar RM9,800 (29 peratus daripada kos keseluruhan). Jemaah T20 pula perlu menjelaskan kos penuh RM33,300. TH memperuntukkan RM234 juta bagi menanggung HAFIS secara bersasar,” katanya dalam kenyataan.
Pengekalan bayaran itu dibuat ketika TH berdepan tekanan inflasi perkhidmatan serta impak konflik geopolitik di Asia Barat yang turut memberi kesan kepada kos operasi.
Bagaimanapun, TH berjaya memantau dan mengawal kenaikan kos menerusi tadbir urus yang cekap tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada jemaah.
Standard perkhidmatan Malaysia turut mendapat pengiktirafan apabila negara memenangi Labbaytum Diamond Award buat kali kedua pada musim haji 2026.
Kerajaan bersama TH juga akan sentiasa memantau struktur kos dari semasa ke semasa mengikut persekitaran global demi memastikan kebajikan dan kelancaran urusan duyufurrahman terus dipelihara.
“Dalam pada itu, persiapan awal bagi musim haji 1448H/2027M telah dimulakan, manakala surat tawaran haji akan dikeluarkan secara berperingkat mulai bulan ini.
Katanya, bakal jemaah dinasihatkan membuat persediaan awal daripada segi kesihatan, kewangan dan kefahaman ilmu berkaitan ibadah haji.-UTUSAN
The post Bayaran haji kekal empat tahun berturut-turut appeared first on Utusan Malaysia.






